Wajah Murtaja Qureiris semasa kanak-kanak (kiri) dan dewasa. Foto BBC

RIYADH – Aktivis hak asasi manusia berkata, Arab Saudi telah membebaskan seorang banduan yang ditangkap ketika dia berusia 13 tahun kerana disyaki terlibat dalam protes anti-kerajaan.

Murtaja Qureiris pernah menghadapi hukuman mati, tetapi akhirnya dia dijatuhkan hukuman penjara.

Murtaja dibicarakan selepas didakwa menganggotai kumpulan pengganas ekstremis.

Dia dituduh menemani abangnya, yang didakwa membaling bom petrol di sebuah balai polis.

Pendakwa raya menuntut dia dikenakan hukuman mati.

Kes yang melibatkan defendan muda itu menarik perhatian antarabangsa, yang mungkin memainkan peranan dalam memastikan dia akhirnya menerima hukuman penjara dan bukannya hukuman mati.

Pada asalnya Murtaja dikenakan hukuman selama 12 tahun, ia kemudiannya dikurangkan kepada lapan tahun.

Aktivis hak asasi manusia tidak menolak kemungkinan Murtaja akan mengalami kesan fizikal dan psikologi ekoran penahanannya.

Pada 2020, dekri diraja telah dikeluarkan di Arab Saudi, memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan yang dilakukan semasa tertuduh masih di bawah umur.

Namun, kumpulan hak asasi manusiamenyatakan kebimbangan kemungkinan dekri itu tidak dipatuhi. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast