Dr. Ibrahim Ali

GUA MUSANG – Rakyat Kelantan perlu menamatkan tempoh pemerintahan Pas di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, jika mahu nasib mereka dan anak cucu terbela.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sepanjang lebih 30 tahun memerintah, Pas telah merosakkan segala kekayaan dan ekonomi negeri itu tanpa dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyatnya.

“Sudah sampai masanya rakyat memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas Kelantan yang gagal secara total walaupun diberi peluang mentadbir selama lebih 30 tahun sejak 1990.

“Jika tidak ditamatkan pada PRU15 ini, nasib rakyat Kelantan dan anak cucu mereka akan berdepan dengan masa depan yang gelap,” katanya dalam Ceramah Perdana Putra Siri Tsunami Politik Kebangkitan Rakyat Kelantan di Kampung Batu Papan DUN Galas, dekat Gua Musang, hari ini.

Nasrul Ali Hasan turut menyampaikan ucapan dalam ceramah perdana di Gua Musang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Tertinggi Putra Malaysia, Datuk Kamarul Airi Ariffin; Pengerusi Badan Perhubungan Putra Pahang, Rosdi Idris; Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; Ketua Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalludin; dan Ketua Putra Bahagian Gua Musang, Mohamad Bustaman Ibrahim.

Menurut Dr. Ibrahim, Putra bersedia menggalas tanggungjawab mentadbir Kelantan demi kemakmuran rakyatnya dan mengurus hasil ekonomi negeri secara telus, bersih, adil, berintegriti serta berinovasi.

Kata beliau, Putra mempunyai perancangan untuk menaikkan nama Kelantan di mata dunia sebagai destinasi pelancongan mesra alam yang hebat.

Beliau memberi contoh, Gua Musang khususnya antara daerah terbesar di Kelantan yang mempunyai simpanan khazanah tidak ternilai harga jika ditadbir urus dengan bijaksana.

“Daerah ini bukan sahaja kaya dengan kayu kayan bernilai tinggi, tetapi juga mempunyai pelbagai bahan galian seperti bijih timah, bauksit, emas dan lain-lain yang nilainya mencecah berbilion ringgit.

“Inilah anugerah Allah SWT kepada Kelantan dan rakyatnya. Ianya juga limpahan kekayaan sumber ekonomi untuk negara, tetapi malangnya rakyat beri kepada parti yang tidak bijak mengurus,” katanya.

Putra Pusat dan Kelantan bersedia menggantikan Pas untuk mentadbir negeri itu pada PRU15 ini.

Beliau berkata, hasil khazanah dalam dan di darat Gua Musang sebenarnya boleh membawa pendapatan berbilion ringgit kepada pendapatan kerajaan negeri, sekali gus meningkatkan prasarana seluruh negeri.

Katanya, hasil itu akan membolehkan banyak projek mega dilaksanakan yang mana ia mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat.

“Selain itu, ianya juga merancakkan perkembangan ekonomi yang pasti dapat menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri ini.

“Segala kehebatan rakyat Kelantan yang kaya dengan pelbagai juadah makanan dan budaya pasti mendorong untuk menarik jutaan pelancong ke negeri ini setiap tahun.

“Begitu juga industri kecil dan sederhana akan tumbuh secara mampan seperti cendawan lepas hujan, yang akan membantu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja meningkat kehidupan rakyat, malah menjana ekonomi untuk seluruh negara,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika Kelantan dibiarkan diurustadbir selamanya oleh Pas, daerah itu akan menjadi seperti Petaling dan Puchong di Selangor atau Sungai Besi di Kuala Lumpur, yang hilang identiti Melayunya. – MalaysiaGazette