KUALA LUMPUR – Polis menahan 229 individu yang terlibat dalam aktiviti penagihan dadah dalam serbuan yang dilakukan di lapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 21 hingga 23 Jun lalu.
Ops Tapis Khas itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan (AADKWP).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, daripada 229 yang ditahan, seramai 11 orang diambil tindakan mengikut undang-undang pencegahan dadah (Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985).
Manakala 21 individu yang lain di ambil tindakan di bawah kesalahan mengambil dadah berulang (Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952)”
“Dalam pada itu, 10 individu kerana dikehendaki mengikut pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan (AADKWP).
Kawasan PPR yang diserbu ialah PPR Desa Tun Razak, PPR Pantai Dalam, PPR Desa Rejang, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, sekitar kawasan Chow Kit dan Putrajaya.
Menurut Azmi, lanjutan daripada Ops Tapis Khas, JSJN KL turut melancarkan Op Igor dan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Dalam operasi itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang perempuan warga tempatan.
“Polis merampas dadah jenis ganja seberat 17.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM43,200, selain menyita wang tunai sebanyak RM4,550, sebuah kereta jenis Honda CRV dianggarkan bernilai RM100,000 dan barang kemas kira-kira bernilai RM15,000”
“Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk kenderaan serta barang kemas adalah bernilai RM162,750,”katanya.
Ketiga-tiga suspek direman antara satu hingga lima hari bermula kelmarin sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – MalaysiaGazette