logo mahlamah

KUALA LUMPUR – Seorang Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berhadapan lima pertuduhan menyalahguna harta berjumlah RM32,000 milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Badasarkan pertuduhan, Mohamad Zulkefli Adam sebagai Ketua Projek Research-Based Foundation For Sustainable Agriculture Entrepreneurship (Smart Rural) secara tidak jujur menyalahgunakan harta lembaga berkenaan pada 13 Oktober, 26 Oktober, 3 September, 4 September dan 7 September 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sekiranya didapati bersalah, Mohamad Zulkefli boleh dipenjara tidak kurang enam bulan, tidak lebih lima tahun, sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan tersebut.

Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk kesemua pertuduhan berkenaan.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Dalam masa sama beliau perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap bulan.

Dalam pada itu itu, pensyarah kanan berkenaan turut dituduh secara berasingan atas dakwaan memalsukan invois bernilai RM10,100.

Beliau, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 11 Ogos 2017.

Tertuduh dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun.

Mohamad Zulkefli mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Hakim, Azura Alwi kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Sebutan sebulan kes bagi keenam-enam pertuduhan berkenaan ditetapkan pada 11 Ogos 2022. – MalaysiaGazette