KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. (Celcom).

Digi dan Celcom, masing-masing merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan tersebut akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

SKMM berkata, pihaknya telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini pada 1 April 2022 dan sudah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada kedua-duanya selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019.

Pernyataan Isu ini untuk menangani kebimbangan penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh suruhanjaya ini.

“Kedua-dua syarikat ini telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh SKMM di dalam Pernyataan Isu,” kata SKMM dalam kenyataan hari ini.

SKMM juga telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh kedua-dua syarikat dan berpuas hati ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast