KUALA LUMPUR – Fenomena filem patriotik Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan turut mendapat perhatian pemimpin politik daripada pelbagai parti.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching antaranya berhasrat untuk membawa 150 penduduk di kawasan beliau untuk menonton kisah pahlawan Melayu menentang penjajah itu pada esok malam.

Pemimpin DAP itu berkata, program tersebut bagi menyokong filem tempatan.

Tambahnya, setiap seorang hanya diperuntukan satu tiket sahaja dan bagi mereka yang ingin pergi bersama keluarga perlu mengisi kesemua nama ahli keluarga.

“Sokong filem anak tempatan. Program tonton tayangan filem Mat Kilau bersama Ahli Parlimen Kulaiļ¼

“Saya ingin menjemput warga Kulai untuk menonton filem ini bersama pada hari Jumaat malam.

“Tiket sebanyak 150 disediakan secara percuma oleh Pejabat Ahli Parlimen Kulai untuk warga Kulai dan sila mendaftarkan nama anda melalui pautan Google,” katannya.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, pendaftaran kutipan tiket filem akan bermula pukul 8 malam ini.

Sehingga semalam filem epik arahan sutradara Syamsul Yusof terus mencipta magis luar biasa di pawagam apabila sudah mengutip RM23.3 juta selepas tujuh hari tayangan.

Setakat ini filem tersebut terus menjadi filem nombor satu mengalahkan karya Hollywood dan Asia yang sedang ditayangkan.

Filem itu membariskan pelakon antaranya Adi Putra, Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri dan Wan Hanafi Su.

Ia mengisahkan tentang seorang pahlawan melayu, Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah sahabat-sahabatnya bangkit melawan dan menentang penjajahan British.

Pada tahun 1892, pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. Dengan itu, British telah mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan juga mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang terus berleluasa Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabat yang lain bangit menentang Britsih.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit. – MalaysiaGazette