KAJANG – Seorang lelaki dicekup bersama sejumlah dadah selepas cuba mengelak daripada pemeriksaan polis dengan merempuh kereta peronda dan kenderaan awam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 23 tahun dan bekerja sebagai kelindan lori diberkas anggota MPV bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.
“Semasa suspek yang menaiki kereta Nissan Almera dalam keadaan mencurigakan dia telah diarahkan untuk memberhentikan kenderaannya untuk diperiksaan oleh polis di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long.
“Dalam kejadian tersebut, kereta yang dipandu oleh suspek telah melanggar kereta peronda polis dan kereta orang awam sebelum berjaya ditahan di Lebuhraya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan polis di dalam kereta suspek membawa kepada rampasan bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine (syabu).
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan suspek boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
“Hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis THC dan mempunyai rekod lampau bersabit dengan kes dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette