Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mula menggerakkan program sukarelawan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Melalui gerakan Ayuh Malaysia, bekas Ahli Parlimen Pandan tersebut akan memulakan latihan untuk kumpulan pertama esok di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwo Jalan Loke Yew, Pudu di sini dari pukul 2  hingga 5 petang.

“Kita hanya ada tiga hingga empat bulan sebelum PRU akan datang, maka lebih baik kita bersedia dari sekarang. Kita perlu menghidupkan semangat perubahan dalam kalangan rakyat dan ia bermula dengan sukarelawan.

“Kita perlukan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang untuk menyumbang kembali. Oleh kerana masa yang singkat, kita perlu menggunakan setiap jam sukarelawan sebaik mungkin,” katanya melalui media sosial.

Tambah Rafizi, sukarelawan akan diberi taklimat mengenai tahap sokongan pengundi yang terkini.

Mereka juga akan diberikan penerangan bagaimana mereka boleh memainkan peranan khusus seperti bertugas sebagai ejen pengundi, menghubungi pengundi melalui telefon dan lain-lain sebelum mendapat tugasan di kerusi-kerusi penting.

“Ini masa untuk bertindak kerana #AyuhMalaysia adalah gerakan kita.

“Sementara kita berharap pimpinan dan parti politik menggandakan usaha mereka, kita juga perlu memainkan peranan,” katanya.

Menurut Rafizi, antara tahun 2016 hingga 2018 seramai 44,000 sukarelawan telah berkhidmat membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

Sukarelawan telah direkrut, dilatih dan ditugaskan di seluruh negara terutamanya di 44 kerusi marginal yang menjadi tumpuan kempen Rafizi ketika itu.

“Mereka memainkan peranan penting. Selain menjadi ejen undi (PACA), mereka juga berkempen dari rumah ke rumah dan menelefon berpuluh ribu pengundi atas pagar melalui phone bank.

“Paling penting mereka menghidupkan kempen dengan berkongsi maklumat harian melalui media sosial dan pesanan ringkas,” jelas Rafizi.

Pada PRU-14, PH berjaya mendapat mandat daripada rakyat melalui pelbagai kempen yang hebat.

Pilihan raya pada waktu itu menyaksikan ramai orang muda keluar mengundi PH sekaligus menyebabkan tsunami politik terhadap Barisan Nasional (BN).

Buat pertama kali pentadbiran negara berubah selepas berpuluh tahun BN diberikan kepercayaan mentadbir negara.

Bagaimanapun kedudukan PH sebagai Kerajaan Persekutuan tidak lama dan tumbang hanya selepas 22 bulan berkuasa apabila berpuluh ahli Parlimen bertindak meninggalkan parti tersebut.-MalaysiaGazette