Kakitangan Jabatan Penerangan Negara (JPN) menunjukkan plakad Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia  memperkenalkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 dalam majlis pelancarannya di Angkasapuri hari ini.

Menurut menterinya, Tan Sri Annuar Musa, pemilihan tema iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, dua sambutan itu disusun rapi bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum, bangsa dan agama menyambutnya secara penuh kebersamaan.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 dengan persetujuan Jemaah Menteri akan memastikan sambutan ini melibatkan semua komuniti dan keluarga di peringkat akar umbi.

“Selain program biasa, akan ada juga program khusus terutama melalui agensi seperti Jabatan Penerangan di seluruh negara dan daerah melibatkan semua komuniti Keluarga Malaysia.

“Kita harap di peringkat negeri pula melibatkan semua Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung hatta di peringkat semua keluarga itu sendiri akan turut meraikan sambutan ini,” katanya.

Menurut Annuar, program lain bagi kedua-dua sambutan itu akan diumumkan dari semasa ke semasa tetapi konsep menjayakan slogan Teguh Bersama adalah penglibatan dan penyertaan keluarga.

Dalam pada itu, beliau berharap mulai hari ini semua media, akan mula membantu untuk menerapkan penghayatan terhadap logo serta juga tema kedua sambutan tahun ini.

“Tolong merakyatkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Sebelum ini pun orang sambut juga tapi kali ini saya nak tengok lebih kelihatan sambutan dilakukan oleh keseluruhan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

“Kita ingin lihat benar-benar kebersamaan rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru Annuar minta semua stesen radio di setiap negeri memberi ruang apa yang masyarakat Kelabit, Kadazan, Dusun dan sebagainya di Sabah dan Sarawak buat sempena merdeka.

Katanya, beliau tidak mahu sambutan hanya bersifatkan Kuala Lumpur dan keluarga Melayu sahaja.

“Biarlah Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini kita pamerkan aktiviti masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama.

“Ini jarang dipamerkan, jarang diketengahkan sedangkan mereka juga ada buat sambutan tapi kita tidak bagi ruang kepada mereka untuk zahirkan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Annuar berkata, tiga aktiviti utama akan diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan iaitu pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan sambutan Hari Malaysia 16 September di Melaka.

Katanya, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun agar terus memupuk serta menyemai semangat patriotism serta cintakan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Antara pertandingan itu ialah ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge, KLIK@Merdeka, Bintang Smule, Bintang Patriotik, Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, program Pengisahan Kenegaraan dan Sayembara Sajak Merdeka yang bermula 30 Julai hingga 16 September ini. – MalaysiaGazette