CYBERJAYA- Universiti Multimedia (MMU) mengukir sejarah baharu apabila ia menyambut ulang tahun ke-25 baru-baru ini, dengan perasmian kumpulan orkestra simfoni yang dianggotai oleh para pelajarnya.
Kumpulan orkestra ini dinamakan MMU Siti Hasmah Symphony Orchestra (MMU SHSO) sempena nama Canselor pertamanya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang merupakan canselor MMU dari tahun 1997 hingga 2012.
Idea penubuhan kumpulan orkestra ini timbul semasa perbincangan antara Tun Zaki Tun Azmi, Canselor MMU ketika ini dengan Tun Dr. Siti Hasmah dalam suatu majlis yang diadakan pada 2019.
Orkestra merupakan aktiviti yang mampu meluaskan pandangan dan memupuk perkembangan bakat pelajar. Mereka yang menceburi orkestra akan memiliki keistimewaan kerana orkestra bukanlah kelaziman dalam budaya muzik di Malaysia.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud, yang teruja dengan konsert berkenaan berkata, pelancaran MMU SHSO adalah inisiatif terbaik bagi meraikan ulang tahun ke-25 universiti ini dan sekali gus memantapkan aktiviti ko-kurikulum para pelajar.
“Sempena memperingati ulang tahun ke-25 universiti, bagi saya pelancaran orkestra simfoni ini adalah acara istimewa untuk meraikannya,” kata Prof Mazliham. Persembahan orkestra ini diadakan hasil kerjasama MMU SHSO dan Triplet Orchestra, yang terdiri daripada Monash Chamber Orchestra, Sunway University Assemble dan Taylor’s Symphony Orchestra.
Pada majlis tersebut Tun Dr. Siti Hasmah turut mengambil kesempatan bermain biola untuk menyampaikan lagu berjudul Por Una Cabeza dan Suci Dalam Debu. Para penonton kemudiannya meminta Tun Dr. Siti Hasmah menambah sebuah lagi lagu yang seterusnya beliau mempersembahkan lagu, Besame Mucho.
Bagi Prof. Mazliham, majlis perasmian dan persembahan itu adalah detik yang penting kerana ia membuktikan kesungguhan universiti dalam membangunkan bakat dan kemahiran para pelajar.
“Pelajar MMU sentiasa mencipta landasan baharu, dan dengan konsert sulung ini, mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu mejayakan persembahan secara berskala besar. Dengan pengalaman menjayakan acara seperti ini, mereka akan mempunyai keupayaan mengendalikan acara yang lebih besar di masa hadapan,” katanya.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Tun Zaki Tun Azmi, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Pro Canselor MMU, Profesor Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid. – MalaysiaGazette