Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menyerahkan surat perlantikan dan plak Taman Angkat Amanita kepada wakil rakan Amanita Taman Penggawa, Samsiah Mokhtar pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Taman Penggawa, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2022.

KUALA SELANGOR – Golongan wanita suri rumah menjadi sasaran mudah scammer dalam talian kerana mereka mudah panik dan takut menerima gertakan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Arjunaidi Mohamed berkata, keadaan itu menyebabkan mangsa mudah diperas ugut dengan kaedah penipuan penyamaran sebagai pegawai kerajaan dan bank.

“Golongan suri rumah ini yang sekarang ramai menjadi soft target scammer dalam talian kerana suri rumah cepat panik dan mudah terpedaya dengan pujukan scammer.

“Jika suri rumah menerima panggilan pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri atau institusi perbankan kononnya mangsa memiliki tunggakan yang perlu dijelaskan beserta waran tangkap, wanita cepat panik dan takut dengan gertakan scammer dan mudah menyerahkan segala butiran peribadi akaun sehingga mengalami kerugian wang dari akaun simpanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Taman Angkat Amanita PDRM di Taman Penggawa di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Sasikala Devi Subramaniam dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib serta para ketua-ketua polis daerah dari kontinjen Selangor.

Taman Penggawa Kuala Selangor merupakan taman perumahan keampat untuk Kontinjen Selangor selepas Taman Desa Bandar Puteri Klang dan dua lagi taman perumahan angkat di Sepang dan Petaling Jaya dilaksanakan sejak 2016 sebagai rakan strategik PDRM untuk mencegah jenayah komuniti di lapangan.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, seramai 1,364  pemilik keldai akaun yang digunakan oleh sindiket penipuan berjaya ditangkap polis di Selangor sejak awal Januari hingga Jun lalu.

Majoriti keldai akaun yang diberkas sepanjang enam bulan lalu itu kerana bersubahat sindiket penipuan wang walaupun menyedari  tindakan mereka membenarkan akaun bank atau kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka digunakan oleh pihak ketiga  salah di sisi undang-undang.

“Kesemua individu keldai akaun ini ditangkap kerana dengan pengetahuan membenarkan akaun bank serta kata laluan mereka digunakan untuk aktiviti jenayah penipuan wang terhadap orang lain.

“Daripada 1, 364 individu keldai akaun yang dicekup itu, seramai 928 individu adalah lelaki manakala 436 orang wanita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, kesemua tangkapan keldai akaun itu adalah berumur dalam lingkungan 20-an hingga 40-an .

“Setakat ini kita sudah menuduh 60 peratus daripada tangkapan itu di mahkamah atas kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 424 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam penipuan.

“Manakala 40 peratus daripada 1, 634 kes masih di dalam siasatan kerana ada sebahagiannya menjadi mangsa keldai akaun iaitu suatu ketika dulu mereka terpedaya dengan ejen menawarkan pekerjaan di media sosial dan berkongsi segala butiran akaun bank untuk kemasukan gaji sebelum ia digunakan untuk transaksi penipuan mangsa lain tanpa pengetahuan pemilik asal (keldai) akaun itu.

“Maka kita masih meneruskan siasatan ke atas baki tangkapan yang menjadi mangsa keldai akaun itu,” ujarnya.

Menurut Arjunaidi, PDRM menyedari pasukan Amanita PDRM menerusi program Taman Angkat membuat hebahan kepada suri rumah agar mereka mempunyai pengetahuan mengenai penipuan scammer agar lebih berhati-hati jika berdepan panggilan scammer. – MalaysiaGazette