Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PASIR SALAK – “Saya tetap setia dan sokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, biar apa orang kata,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata sokongannya akan terus diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah melakukan pelbagai inisiatif memerangi pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barang walaupun dikecam segelintir pihak.

“Kami, UMNO Pasir Salak mahu Ismail Sabri terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya. Kita akan terus dan sentiasa beri sokongan padu untuknya,” kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu sewaktu berucap di Kenduri Rakyat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022.

Program itu berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Ismail Sabri pagi tadi.

Jelas Tajuddin yang juga bekas pengarah pilihan raya UMNO, meskipun dalam keadaan negara sedang berdepan kenaikan harga barangan, Perdana Menteri berusaha menanganinya dengan memberikan pelbagai bantuan untuk rakyat.

Khamis lepas, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT UMNO menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast