KAHERAH – Dua wanita maut dalam serangan jerung dalam jarak 650 kaki antara satu sama lain di kawasan tumpuan pelancong di Mesir.
Mangsa pertama adalah pesara berusia 68 tahun dari Austria.
Pihak berkuasa Mesir mengesahkan seorang lagi wanita ditarik keluar dari laut pada hari Jumaat lalu selepas mayatnya ditemui di terumbu di Sahl Hasheesh, selatan Hurghada.
Identiti wanita itu belum didedahkan tetapi dia dipercayai pelancong Romania yang menginap di hotel lima bintang Premiere Le Reve.
Susulan tragedi itu, pihak berkuasa Mesir telah menutup beberapa pantai di Laut Merah.
Gabenor wilayah itu berkata, mangsa pertama terputus lengannya akibat serangan jerung.
Serangan jerung jarang berlaku di Laut Merah, tetapi terdapat beberapa insiden yang melibatkan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Wilayah ini menyumbang kira-kira 65% daripada pelancong yang melawat negara ini.
Kementerian Alam sekitar sedang berusaha untuk mengenal pasti keadaan serangan jerung itu.
Dalam video yang ditular di media sosial menunjukkan seorang wanita bergelut dengan jerung sebelum ‘air darah’ mengelilinginya.
Pada 2018, seorang pelancong Czech dibunuh oleh jerung semasa berenang dan serangan serupa membunuh seorang lagi pelancong Jerman pada 2015.
Dan pada tahun 2010, berlaku lima serangan jerung dalam tempoh lima hari berhampiran kawasan tumpuan pelancong Sharm el-Sheikh, membunuh seorang wanita Jerman berusia 70 tahun dan mencederakan empat lagi pelancong asing. – BBC