Abdul Razak menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidiladha Peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Kampung Hulu, Melaka.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan melihat semula tuntutan-tuntutan kerugian akibat banjir daripada petani dan penternak yang dilihat tidak munasabah.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, setakat April lalu, pihaknya telah menerima tuntutan kerugian daripada kira-kira 280 petani dan penternak melibatkan antara RM15,000 hingga RM28,000 bagi setiap kes.

Tanpa menyebut anggaran keseluruhan tuntutan, beliau berkata, Jabatan Pertanian daerah menerima segala tuntutan itu, namun semua laporan itu sedang melalui proses penilaian terperinci sebelum ia disahkan.

“Setakat April, kita dah terima kes daripada 280 pengadu termasuk peladang dan penternak yang mana anggaran kerugian juga belum dilihat secara keseluruhan.

“Tapi kalau ikut yang dituntut itu memang banyak dan kadang-kadang ada juga yang buat tuntutan tidak munasabah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Aidiladha Peringkat Parlimen Kota Melaka di Masjid Kampung Hulu, di sini, hari ini.

Abdul Razak Abdul Rahman

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud.

Mengulas mengenai tuntutan tidak munasabah dimaksudkan, Abdul Razak berkata: “Contohnya ada yang usahakan tanaman satu ekar (0.4 hektar) ubi kayu tapi tuntut (kerugian akibat banjir) sampai RM28,000, itu tidak munasabah lah.

“Apapun, penilaiannya Kementerian Pertanian akan datang untuk lihat nilai sebenar sebab di peringkat kerajaan negeri pun kita memang tiada peruntukan khas,” katanya sambil menambah antara tuntutan melibatkan kerosakan pada tanaman kontan termasuk pisang, ubi kayu dan cili selain padi. – MalaysiaGazette