Gambar hiasan: Pekerja MARDI melakukan kerja-kerja pertanian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2021.

BARU-BARU ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa semua kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan keluasan penggunaan tanah bagi tujuan aktiviti pertanian.

Langkah tersebut adalah untuk memperkasa keselamatan bekalan makanan negara yang selepas harga barangan naik mendadak yang didakwa berpunca daripada beberapa sebab termasuk kekurangan bahan mentah dan inflasi.

Kerajaan negeri antaranya bersetuju memperkasa pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah berkenaan kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

Bagaimanapun pakar jaminan bekalan makanan dan pertanian berpendapat tanah untuk bercucuk tanam dan menternak haiwan bukanlah isu utama terhadap masalah jaminan bekalan makanan di negara ini.

Isu yang paling kritikal adalah masih banyak petani dan penternak tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap hasil tanaman dan penternakan mereka.

Produk pertanian jadi bahan buangan

Tanah di negara ini cukup subur untuk ditanam dengan pelbagai produk pertanian. Malah keluasannya juga boleh digunakan sebagai kawasan penternakan haiwan.  Justeru tanah bukanlah satu isu besar di negara ini.

Pengarah Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFFSA) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr. Maryana Mohamad Nor menegaskan, pemerkasaan komuniti pertanian merupakan aspek penting dalam menjayakan agenda jaminan bekalan makanan negara.

Dr Maryana Mohamad Nor

Menurutnya, Global Food Security Index (Indeks Keselamatan Makanan Global) telah meletakkan Malaysia di tempat ke-39 tahun lalu disebabkan kelemahan tersebut.

“Kalau kita kaji, Malaysia lemah pada ketersediaan. Kita boleh tanam tapi kita tak boleh proses. Macam-mana produk yang kita tanam itu nak sampai kepada pengguna terakhir?

“Dahulu kita sudah buat satu komuniti satu produk. Tapi yang kita perasan seorang tanam ubi semua tanam ubi. Ada tak yang proses ubi? Tak ada!

“Kalau kita boleh perkasakan komuniti itu, dia boleh tanam, dia boleh proses, dia boleh bekalkan. Itu lagi baik,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani UMK tersebut.

Bagi mengatasi isu jaminan bekalan makanan dengan segera, tanah yang ada boleh ditanam dengan tanaman yang memberi penghasilan dalam tempoh yang pendek.

“Orang kita tidak berapa nak pandang ubi. Kalau kita tengok sekarang ada negara telah menyekat eksport tepung. Sebenarnya kita boleh hasilkan tepung sendiri. Guna ubi kentang, ubi kayu dan ubi keledek.

“Kita ada banyak lambakan ubi. Kalau tengok di Kelantan hujung tahun nampak banyak lambakan. Orang kita tahu tanam sahaja. Tapi tak tahu nak proses.

“Jadi macam mana nak bantu petani proses hasil pertanian yang dilambakan ini?  Mereka tak tahu nak jual di mana, nak proses di mana. Jadi proses ini penting. Macam Thailand buat. Dia tanam, dia proses, dia jual balik. Komuniti yang sama,” kata Dr. Maryana.

Pekerja MARDI melakukan kerja-kerja di sekitar tanaman pokok jagung ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2021.

Peranan agen pengembangan

Bagi memperkasakan komuniti pertanian peranan yang perlu dimainkan oleh pegawai daripada Jabatan Pertanian serta Jabatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan adalah sangat penting.

Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, mereka ini merupakan agen pengembangan bagi mendidik masyarakat petani untuk memastikan produk yang mereka hasilkan tidak menjadi bahan buangan.

“Kita ada banyak teknologi moden di Malaysia tetapi kenapa tidak digunakan oleh petani. Mungkin kerana teknologi ini tak sampai kepada mereka.

“Inilah peranan agen-agen pengembangan untuk turun ke ladang-ladang, kampung-kampung untuk mengajar petani. Ini penting. Negara seperti Thailand (agen pengembangan) sangat aktif, mainkan peranan besar dan menyumbangn kepada sektor pertanian

“Kita selalu dengar hasil berlebihan hingga tak boleh dijual sehingga hasil rosak. Hasil pertanian tidak boleh bertahan lama, kalau sudah tuai hari ini atau esok kena pasarkan. Kalau tida akan rosak,” katanya.

Beliay menegaskan badan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu proaktif dalam membantu  petani.

Malaysia tak konsisten

Malaysia hanya kelam-kabut bila krisis makanan berlaku. Ketika krisis timbul bermacam-macam idea, tindakan dan pelan.  Itulah yang berlaku ketika ini. Sedangkan isu keselamatan bekalan makanan bukan perkara baharu.

Dr Zulkifli Idrus berkata, negara memerlukan strategi konsisten yang perlu diteruskan bukan sahaja ketika negara berhadapan dengan isu bekalan makanan tetapi juga semasa negara tidak menghadapi masalah tersebut.

“Apa yang saya nampak sekarang ini kita heboh satu negara pasal pertanian dan makanan kerana harga meningkat.

“Apa jadi kalau keadaan kembali kepada asal, adakah kita nak teruskan segala strategi yang telah diatur. Saya nampak kelemahan kita di situ.

“Orang kata kita ni macam ‘pencegah kebakaran’ bila ada kebakaran kita buat ini buat itu, bila krisis itu sudah pulih, kita lupa dan tinggalkan apa yang sudah kita rancang.

“Kita perlu konsisten. Jangan sekerat jalan. Ada inflasi atau tidak, ada perang Rusia- Ukraine atau tidak, kita kena teruskan denga apa sahaja strategi yang kita telah susun,” katanya tegas.

Beliau memberi contoh idea untuk menanam jagung sebagai makanan ternakan telah lama dirancang iaitu sejak tahun 1980 ketika negara berhadapan krisis tersebut pada masa itu.

Kini selepas berpuluh tahun idea itu muncul lagi apabila negara berhadapan dengan krisis makanan haiwan hingga menyebabkan harga ayam melambung tinggi ketika ini.

“Sebenarnya perkara yang kita bincang ini tiada apa yang baharu. Bila berlaku krisis makanan kita bincang perkara yang sama, tanama jagung la, apa la. Benda yang sama. Tapi bila krisis pulih kita lupa, ketepikan strategi-strategi ini.

“Mungkin lagi lima tahun bila berlaku lagi krisis kita buka file-file lama dan kita bincang perkara ini sekali lagi, sebab kita tidak konsisten

“Sekarang kita perlu konsisten. Kalau kita rasa strategi ini yang baik unuk menjamin sekuriti makanan kita kena teruskan. Walaupun keadaan ada inflasi ke, tak ada inflasi ke kita kena teruskan. Ini hasrat saya kita kena konsisten,” katanya.

Justeru Dr Zulkifli berharap rancangan pertanian dengan penyediaan tanah oleh kerajaan negeri perlu diteruskan walaupun selepas negara pulih daripada krisis harga dan bekalan makanan yang dihadapi sekarang. – MalaysiaGazette