Mayat Khairul Ikhwan ditemui di bawah timbunan kayu kira-kira 100 meter dari lokasi rumahnya yang hanyut dibawa arus dalam keajdian kepala air serta banjir di Kampung Iboi, Baling Kedah.

BALING – Jasad tiga beranak termasuk wanita hamil yang hilang selepas dihanyutkan kepala air dan banjir di Kampung Iboi di sini, ditemui hari ini.

Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, dan ibu mertuanya Salmah Mat Akib, 53 tahun ditemui pada jam 9.30 pagi tadi di bawah timbunan kayu pokok.

Difahamkan, jasad wanita hamil dan ibu mentuanya ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka.

Manakala mayat, Khairul Ikhwan Nor Azman,14, ditemui dua jam kemudian, kira-kira 10 meter daripada lokasi penemuan dua ahli keluarganya.

Sayani Saidon

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon berkata, kesemua mangsa ditemui di bawah timbunan batang pokok namun jasad mereka  berada dalam sempurna.

“Kita percaya mangsa hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu, sekali gus terperangkap di bawah timbunan bongkah terbabit.

“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan diikuti mayat kedua.

Penduduk menunjukan lokasi penemuan mayat tiga mangsa yang hilang dibawa arus dalam Insiden kepala air di Kampung Iboi.

“Manakala bagi mayat ketiga ditemui tidak jauh dari lokasi penemuan mayat pertama dan kedua namun kita tidak nampak keberadaanya disebabkan timbunan kayu yang banyak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Sayani, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut Sayani berkata, operasi pencarian mangsa hilang selesai susulan pihaknya hanya menerima laporan berhubung kehilangan tiga individu saja dalam insiden terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat telah selesai namun operasi secara keseluruhan belum diberhentikan. Kita lakukan kerja-kerja sampingan termasuk pembersihan di lokasi banjir ini,” ujar beliau.

Semalam media melaporkan, tiga  sekeluarga termasuk seorang wanita hamil empat bulan dipercayai hilang selepas rumah didiami mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, di sini.

Abd Rahman Said, 71, berkata, ketiga-tiga mangsa adalah ahli keluarganya iaitu isterinya Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast