Suspek yang membunuh ibunya dikawal polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Melaka untuk mendapatkan perintah reman.

MELAKA – Lelaki yang disyaki membunuh ibunya dengan menikam leher warga emas itu direman tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin yang membenarkan permohonan remanĀ  polis di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh.

Terdahulu, suspek yang berusia 38 tahun itu tiba di mahkamah sekitar jam 9.43 memakai pakaian lokap berwarna ungu pagi dengan kawalan anggota polis.

Semalam media melaporkan seorang ibu tunggal, Rozizah Md Dom, 63, ditikam anak sulungnya dengan dua kesan tikaman dileher dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya selepas polis mendapat aduan daripada penduduk kampung pada jam 3.05 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Tambahnya, suspek bertindak demikian menggunakan pisau sepanjang 26 sentimeter selepas terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala.

Menurutnya, selepas menikam ibunya, lelaki berkenaan yang mempunyai rekod kesihatan mental dan dua kesalahan dadah sebelum ini sempat menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu jenazah dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu, di sini, petang ini. – MalaysiaGazette