KUALA LUMPUR – Tidak dapat dinafikan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak, membuatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kuat.
Situasi ini mendorong pihak-pihak tertentu tidak selesa dan tercabar dengan keadaan ini, lantas mereka cuba sedaya upaya memecahkan keakraban ketiga-tiga pemimpin ini supaya UMNO dan BN menjadi lemah, dakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil.
Apa pun berlaku, beliau yakin pihak-pihak yang mahu melemahkan UMNO ini tidak akan berjaya kerana telah mereka telah cuba sekian lama tetapi gagal, waima ingin membubarkan UMNO dan menekan pemimpin-pemimpin UMNO dengan kes-kes pendakwaan terpilih.
Ini adalah kerana akar umbi UMNO tidak mudah percaya kepada propaganda Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional serta media asing.
Malah, akar umbi UMNO mudah menghidu gerakan pengkhianat UMNO yang menyokong musuh UMNO dan menjadi api dalam sekam UMNO.
”Akar umbi UMNO tetap setia kepada parti dan saya pasti UMNO akan terus mara walaupun dengan dugaan-dugaan dan propaganda-propaganda politik untuk memecahbelahkan UMNO seperti yang berlaku di kebelakangan ini,” ujarnya.
Beliau mengulas mengenai dakwaan kenyataan Mohamad atau Tok Mat dalam satu wawancara yang menyatakan Najib patut masuk penjara.
Isham berkata, beliautelah mendengar audio rakaman perbualan antara wartawan Asia Times dengan Tok Mat dari awal sampai habis.
Dakwanya, tidak ada satu pun bahagian atau mana-mana bahagian yang Tok Mat kata Najib bersalah dan patut masuk penjara.
”Tajuk di portal itu adalah tidak betul dan satu putar belit (spin), mungkin bertujuan untuk mensensasikan dan memviralkan portal mereka.
”Tok Mat hanya kata Najib perlu melalui proses mahkamah. Dan jika didapati bersalah dia perlu melalui proses undang-undang. Sememangnya dari dulu Najib telah dan sedang melalui proses undang-undang. Dia tidak minta supaya kesnya digugurkan. Dia mahu membersihkan namanya di mahkamah melalui proses undang-undang.
”Sebab itu walaupun kita sudah tukar kerajaan sebanyak tiga kali, kes Najib masih berterusan dan tidak digugurkan. Ini berbeza dengan kes rasuah pemimpin PH dan DAP Lim Guan Eng dahulu, apabila PH mengambil kuasa kerajaan selepas PRU-14, kes rasuah Lim Guan Eng telah digugurkan. Kes Najib tidak digugurkan selepas UMNO kembali dalam kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette