Antara kambing yang bakal dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 10 Julai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2022.

IBADAH korban merupakan satu manifestasi kehambaan hamba yang beriman kepada Allah dengan mengorbankan sebahagian kecil hartanya untuk diinfak ke jalan Allah. Oleh yang demikian, majoriti fuqaha menegaskan hukumnya adalah sunat yang dituntut ke atas setiap muslim setiap tahun.

Seperti ibadah yang berbentuk kehartaan yang lain, ibadah korban juga merupakan satu penghayatan bagi seorang hamba itu melahirkan kesyukurannya ke atas nikmat Allah SWT yang juga sebagai tanda ketakwaan: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu…(Surah al-Hajj, ayat 37)

Perkongsian nikmat

Meraikan kepelbagaian hierarki manusia yang berbeza, kaya dan miskin, pensyariatan ibadah korban ini mampu mendokong fungsi dan peranan zakat di dalam menampung kekurangan sosio ekonomi bagi mewujudkan keseimbangan di dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya zakat itu difardukan mengikut jenis harta, jumlah dan masa, korban pula disyariatkan mengikut jenis haiwan ternakan yang mampu disembelih bagi diagihkan secara sedekah dan hadiah. Zakat bertujuan untuk memenuhi keperluan berbentuk harta manakala ibadah korban pula untuk membantu insan lain berkongsi nikmat Allah di dalam menikmati daging haiwan yang disembelih.

Jelas di sana terdapat matlamat yang jelas di sebalik ibadah ini yang bertujuan untuk menyemak semangat berkongsi nikmat Allah SWT sesama manusia. Para ulama juga menganjurkan agar daging korban tersebut dibahagikan kepada tiga, sebagai sedekah kepada fakir miskin, hadiah kepada yang kaya dan sepertiga lagi adalah untuk diambil sendiri oleh pelaku ibadah korban sebagai mengambil kerberkatan.

Tegasnya, perkongsian nikmat dan kurniaan Allah jelas tersurat di dalam ibadah ini bagi menyuburkan lagi semangat persaudaraan yang dibina dengan keimanan dan keislaman sebagai firman Allah SWT: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Ketidakseimbangan agihan kekayaan

Data terkini dari World Inequality Report 2022 melaporkan 10 peratus golongan terkaya di dunia ini memiliki hampir 52 peratus kekayaan dunia sementara 50 peratus rakyat termiskin hanya berkongsi 8.5 peratus dari kekayaan dunia. Data ini sahaja sudah cukup membuktikan kepada kita bagaimana besarnya jurang kakayaan antara populasi yang kaya dan miskin di dunia ini. Hasilnya, golongan miskin dan tertindas akan sentiasa wujud sementara golongan kaya yang oportunis pula terus menerus mengusai kekayaan dunia.

Ibadah korban yang juga sama seperti ibadah infak yang lain seperti zakat, wakaf dan sedekah digalakkan oleh Syariah kita bagi mewujudkan suasana perkongsian yang boleh menyeimbangkan pengagihan kekayaan yang kadang kalanya dirosakkan oleh manusia itu sendiri. Monopoli, isu kartel, pinjaman secara riba dan muslihat di dalam perolehan harta adalah antara contoh perbuatan dan jenayah yang telah merosakkan keseimbangan agihan kekayaan tersebut sehinggamewujudkan golongan yang merempat dan miskin di negara yang kaya dengan hasil, sementara golongan kaya dari negara yang kurang produktif kerana manipulasi harta dan kuasa yang berlaku.

Sebaliknya, sekiranya golongan kaya ini sudi berkongsi kekayaan mereka dan cukup sekadar 10 peratus dari mereka, ia sudah pasti sudah cukup untuk mengurangkan beberapa peratus kemiskinan dan menambahkan lagi golongan kaya. Sayangnya, apabila sifat tamak dan mementingkan diri sendiri menjadi pegangan, ketidak seimbangan akan terus wujud dan meningkat sedikit demi sedikit.

Kesimpulan

Allah SWT menjadikan dunia ini penuh dengan kenikmatan dan kurniaannya yang tidak terkira sebagaimana firmanNya: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Surah al-Nahl, ayat 18).

Kenikmatan yang dikurniakan adalah amanah yang perlu digalas oleh setiap pemiliknya untuk disalurkan kepada kebaikan dan manfaat. Nabi juga berpesan bahawa sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada insan yang lain. Tambahan, Allah SWT pula maha Mulia dan Tinggi dari menzalimi hambaNya dengan ketidakcukupan nikmat sebagaimana tegasNya : … Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. (Surah Fussilat, ayat 46).

Walau bagaimanapun kesemua nikmat itu dapat dikecapi dengan sempurna sekiranya semangat berkongsi itu dipupuk, diurus dan disebarkan sebagaimana semangat yang wujud di dalam ibadah korban di dalam mengagihkan daging begitu juga pengagihan kekayaan perlu diuruskan dengan baik supaya keseimbangan itu wujud dan menjamin kelestarian sosio ekonomi sesebuah negara.

Oleh: Dr. Mohd Shahid bin Mohd Noh
Ketua,  Jabatan Syariah dan Ekonomi
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
[email protected]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast