KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.1 peratus pada bulan Mei 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya disumbangkan oleh sektor pembuatan dan elektrik, dengan masing-masing merekodkan peningkatan 6.9 peratus dan 2.8 peratus.

Sementara itu, sektor perlombongan menyusut 4.9 peratus.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 1.0 peratus kesan daripada kejatuhan dalam komponen pembuatan dan perlombongan, kata Jabatan Perangkaan.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.9 peratus pada bulan Mei 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus pada bulan April 2022.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Mei 2022 adalah peralatan elektrik & elektronik (15.5%), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (12.4%) dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (5.2%).

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik (8.7%) dan industri berorientasikan eksport (6.1%).

Pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler dan pembuatan produk prosesan makanan.

Sementara itu, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal dan pembuatan kimia & produk kimia.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan menyusut 1.3 peratus berbanding April 2022 dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk makanan, minuman & tembakau dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka.

Output sektor perlombongan merosot 4.9 peratus pada bulan Mei 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Penyusutan tersebut dipengaruhi oleh kejatuhan 6.7 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat dan kemerosotan 3.6 peratus dalam indeks gas asli.

Indeks perlombongan juga merekodkan penurunan 0.6 peratus berbanding bulan yang lalu manakala output sektor elektrik berkembang 2.8 peratus pada bulan Mei 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik tumbuh 1.5 peratus.

IPP bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 merekodkan pengembangan 4.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya disokong oleh indeks pembuatan (6.4%) dan indeks elektrik (3.0%).

Sementara itu, indeks perlombongan pula menyusut 2.1 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast