Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pekerja-pekerja di ladang sawit dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian, jika bertembung atau berhadapan dengan gajah liar yang berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.

Pekerja-pekerja ladang juga diminta menjauhkan diri, jika terserempak dengan hidupan liar tersebut dan terus menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, kata Pengurus Besar Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Zamakhshari Muhamad.

Perhilitan boleh dihubungi di talian bebas tol 1-800-88-5151.

”Walaupun gajah bukan haiwan yang ganas tetapi mamalia itu boleh menjadi agresif jika sedang kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam.

”Justeru, sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan, terutamanya kerana hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716,” katanya.

Beliau mengulas kematian seorang pekerja ladang kelapa sawit yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, Pahang pagi ini.

Mangsa maut selepas dilaporkan dipijak gajah liar semasa sedang bertugas di Ladang Semantan, Mentakab dan mengalami kecederaan serius pada bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri pada hari Selasa lalu.

Siasatan awal Perhilitan Pahang mendapati ladang kelapa sawit yang merupakan tempat mendiang bertugas terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul dan menurut rekod terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenalpasti berada di hutan simpan berkenaan.

Zamakhshari yang mewakili MPOGCF menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai sebanyak RM5,000 dengan harapan dapat membantu meringankan beban keluarga mendiang.

Ujarnya, sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama ini dan akan terus memberi sokongan penuh bagi usaha-usaha mengurangkan konflik manusia-gajah dan langkah mitigasi yang bersesuaian dengan menggalakkan kewujudan atau keharmonian bersama atau ‘Living Together’, terutamanya dalam industri sawit Malaysia. – MalaysiaGazette