BENTONG – Orang ramai mula pulang ke kampung halaman di pantai ini bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di Plaza Tol Bentong menghala timur pada petang ini mendapati terdapat pertambahan kenderaan dari arah ibu kota, namun ia tidak mengakibatkan kesesakan luar biasa.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, sebanyak 104,751 kenderaan telah menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dalam tempoh 12 jam bermula jam 6 pagi hari ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 45,313 kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) dalam tempoh sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan menggunakan KLK untuk musim perayaan ini manakala lebih 700,000 kenderaan akan melalui LPT1 mulai 8 Julai sehingga 11 Julai.
“Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh ANIH Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini, ialah penambahan petugas-petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik,” jelasnya.
Menurut Radzimah, pihaknya juga sudah bersedia disemua fasiliti lebuhraya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di kawasan rehat dan rawat.
“Sungguhpun begitu, ANIH Berhad tetap ingin mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhemah, memastikan keadaan kenderaan optimum, memastikan baki e-wallet, Touch n GO dan SmartTag yang mencukupi disamping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” tambahnya. – MalaysiaGazette