KOLEKSI manuskrip Melayu merupakan khazanah warisan intelektual bangsa dan negara yang tidak terhingga nilainya.Justeru, mutakhir ini wujud gesaan oleh tokoh bahasa dan persuratan, Prof. Datuk Seri Dr. Hj. Awang Sariyan agar pengumpulan manuskrip Melayu lama ini diperkasakan lagi. Ia adalah rentetan pembentangan oleh kerajaan kepada Istana Johor pada awal bulan lalu berkenaan laporan siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Menurut Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), manuskrip Melayu ditakrifkan sebagai segala bentuk tulisan tangan menggunakan skrip Jawi dalam bahasa rumpun Melayu mengenai alam dan tamadun Melayu yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun. Sebagai tambahan, Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
kajiannya pada tahun 1989 menegaskan bahawa penulisan manuskrip Melayu telah bermula sejak sebelum abad ke-15 dan mencapai kemuncaknya pada abad ke-17 Masihi.
Jelas, takrifan manuskrip Melayu di atas telah memperincikan bentuk dan kandungan manuskrip Melayu. Namun, sehingga kini masih belum diketahui fakta yang jelas berkenaan tahun permulaan manuskrip Melayu. Justeru, suatu kajian terperinci perlu dijalankan memandangkan negara mempunyai tenaga kepakaran tempatan yang berkemahiran untuk menjalankan kajian lanjutan.
Menurut Prof. Datuk Seri Dr. Hj. Awang Sariyan, terdapat lebih 20,000 manuskrip Melayu lama disimpan di 28 buah negara. Selanjutnya, hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Siti Fathimah Abdul Halim pada tahun 2014 pula telah menyenaraikan secara terperinci 28 buah negara tersebut beserta lokasi dan organisasi yang menyimpan manuskrip Melayu berkenaan.
Apakah kepentingan manuskrip Melayu terhadap negara?
Manuskrip Melayu lama mengandungi pandangan sarwajagat. Ianya juga adalah manifestasi intelektualisme cendekiawan Melayu silam yang telah direkodkan, merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Jelas, kewujudan manuskrip Melayu ini merupakan bukti jelas yang menunjukkan bangsa Melayu telah pun mencapai satu tahap intelektualisme yang sangat tinggi.
Sumbangan utamanya adalah apabila aktiviti dan peristiwa penting yang berlaku di dalam masyarakat lampau telah diamati, difikir dan kemudian diterjemah ke dalam bentuk penulisan. Bukan itu sahaja, perkembangan budaya masyarakat yang bermula daripada cara hidup primitif dan kemudian pengaruh Hindu-Buddha sehinggalah kepada pengaruh Islam akan dapat diketahui dengan lebih jelas.
Lebih utama daripada itu, sumber penulisan adalah bersumberkan kepada penelitian mendalam penulis lampau yang memahami gaya hidup bangsanya sendiri. Sudah sampai masanya untuk semua manuskrip Melayu yang bertebaran di benua Asia, Eropah, Afrika dan Amerika, untuk ‘dipulangkan’ ke tanah airnya. Amat menghairankan apabila melihat anak tempatan perlu bertamu di negara luar semata-mata untuk mengkaji khazanah bangsa sendiri.
Seandainya manuskrip Melayu berjaya dikembalikan menerusi rundingan antara kerajaan, maka telah tersedia organisasi yang akan menguruskan khazanah negara itu sementelah tertubuhnya Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu sejak tahun 1983. Inisiatif secara kolektif harus digembleng menerusi organisasi berkaitan kerajaan sehingga berjaya memperoleh kembali manuskrip Melayu lama berkenaan. Sebagai contoh, Jabatan Arkib Universiti, Universiti Teknologi MARA sangat berkeupayaan untuk mengendalikan 500,000 rekod digital universiti.
Usaha ini bertepatan dengan saranan Menteri Pendidikan pada Disember 2020 yang lalu, beliau telah menyarankan agar inisiatif kerjasama pengumpulan manuskrip Melayu diperluaskan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agar menyokong sistem pendidikan yang berasaskan sejarah negara bangsa.Antara inisiatif yang boleh diambil seperti mendekati pengumpul manuskrip tempatan.
Contohnya, masih terdapat anak tempatan yang berminat mengumpul manuskrip lama seperti Wan Ahmad Arshad yang telah mengumpul lebih 1,500 koleksi manuskrip berusia lebih 100 tahun serta Prof. Madya Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif yang turut menyimpan lebih 400 manuskrip Melayu. Selain itu, galakkan untuk memperbanyakkan kajian yang mendalam terhadap manuskrip Melayu dengan penglibatan ahli akademik sesuatu bidang tertentu. Hal ini akan mendorong kepada penjejakan dan pengumpulan mansukrip lampau.
Hasil inisiatif ini terbukti berkesan apabila sekumpulan penyelidik etnomatematik di IPT berjaya menjejaki 34 manuskrip Melayu yang disimpan di Indonesia dan Kemboja dan mengandungi penyelidikan Sains dan Matematik abad ke-17. Penglibatan dalam program usahasama merentas negara perlu diteroka dan diteruskan susulan terdapat manuskrip Melayu yang disimpan di luar negara yang masih belum dikaji dan diproses sepenuhnya.
Pernyataan ini disokong oleh seorang tokoh bahasa Batak, Prof. Dr. Uli Kozok apabila menyatakan bahawa hanya 5% manuskrip Melayu yang telah dikaji di seluruh dunia. Kepentingan manuskrip Melayu terhadap ketamadunan Melayu sewajarnya diletakkan pada tahap tertinggi. Suatu tindakan yang komprehensif dan kolektif harus digerakkan secara konsisten agar matlamat mengumpul dan menyimpan khazanah negara dapat dicapai dengan jayanya.
Jelas, manuskrip Melayu lama seharusnya dikembalikan dan disimpan di Malaysia untuk tujuan kajian dan simpanan, agar jati diri sebuah negara yang berdaulat terserlah di mata dunia.
Asmah Sabtu
Pustakawan Kanan
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam