KUALA LUMPUR – “Saya sama sekali tidak sokong tindakan wanita mencuri, salah itu tetap salah apatah lagi pada masa sama OKT itu terjebak pula dengan masalah sosial tidak sepatutnya. Tetapi yang saya peduli dan kasihan adalah nasib anak-anak kecil itu,”
Itu antara luahan ahli korporat hartanah terkenal, Mohamad Azlan Al Amin atau lebih terkenal dengan nama jolokan ‘Jutawan Sampah’ kepada MalaysiaGazette berhubung tindakannya membantu seorang wanita yang dijatuhi penjara 14 bulan kerana mencuri dua paket minuman jenis Milo oleh Mahkamah Marang kelmarin.
Kata Mohamad Azlan, beliau tergerak untuk tampil membantu suri rumah berkenaan, Suhaini Mohd, 43 yang kini sudah ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.
“Saya bukanlah buat semua ini untuk jadi terkenal mahupun ‘publicity stunt’. Hati saya hancur luluh bila tengok anak-anak kecil itu, anak-anak wanita itu bukanlah tahu perihal perbuatan ibu mereka. Anak-anak itu kini hilang perhatian kerana ibu di penjara.
“Saya tidak halalkan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang, lagi ini kesalahan mencuri dan ada dakwaan wanita itu juga terjebak dengan masalah sosial. Tapi kita juga pada masa sama perlu berfikir tentang kes ini sebagai sebahagian daripada masyarakat ini,” katanya.
Tiga perkara pada pandangannya yang wajar diberi perhatian iaitu seseorang itu sepatutnya dihukum atas kesalahan yang dilakukannya.
Kedua, seseorang itu juga berhak diberikan peluang untuk membetulkan perbuatan mereka, sekali gus berubah menjadi lebih baik. Ketiga, seseorang itu perlu dibimbing agar menjadi insan berguna.
“Mengambil pendekatan inilah saya buat keputusan untuk bantu apa yang boleh dengan bercakap dengan peguam saya, Datuk Naran Singh dengan membuat permohonan penangguhan hukuman dan jaminan kepada Mahkamah Marang semalam secara atas talian,” katanya.
Kelmarin tertuduh yang mempunyai empat orang anak kecil dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya di sini pada 25 Mei lalu.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang juga penagih dadah membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan fakta kes, pemilik pasar raya mengesan aksi mencurigakan Suhaini menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Tertuduh kemudian nekad melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang tetapi berjaya ditahan polis di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun berpandukan nombor pendaftaran motosikal terbabit pada 6 Jun lalu.
Untuk makluman, Suhaini yang mempunyai empat orang anak sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada tahun 2019 dan 2021.
Kata Mohamad Azlan lagi, beliau tidak akan sesekali menghalalkan sebarang perbuatan salah, sebaliknya amat berharap ada hukuman dapat dipinda mengikut keadaan dan situasi supaya ianya dapat menjadi pengajaran di masa hadapan.
“Salah itu salah. Habis situ. Saya sediakan khidmat guaman bagi cuba mendapatkan hukuman lebih ringan namun pada masa sama dapat memberinya pengajaran, mudah-mudahan OKT ini insaf dan kembali ke pangkal jalan. Biar jadi teladan kepada anak-anaknya.
“Ingatlah setiap manusia ini tidak sunyi dari buat silap termasuk diri saya dan anda juga. Beri juga ruang dan bimbingan menjadi insan berguna. Janganlah kita hanya nampak salah ‘bilis-bilis’ sahaja tetapi jerung yang curi berbilion curi gelapkan dana masih lagi bebas,” tegasnya. -MalaysiaGazette