KUALA LUMPUR – Sebanyak 323 bas ekspres yang akan membawa penumpang pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL), Zulkefly Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan itu berada dalam keadaan selamat untuk memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Kita juga memeriksa lebih 600 pemandu pertama dan kedua bersama 323 bas ekspres yang akan bergerak ke Utara, Selatan dan Pantai Timur pada semalam dan sehingga malam ini.
“Bas berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan manakala pemandu pertama dan kedua juga sihat dan bebas daripada sebarang salahlaku lesen dokumen, dadah dan pengaruh alkohol,” katanya.
Beliau bersama pasukan penguatkuasa JPJ dan melakukan pemeriksaan di depot dan terminal TBS sempena pelancaran Advokasi Keselamatan Jalan Raya Khas kepada pemandu bas ekspres sempena Ops Khas Hari Raya Aidiladha 2022.
Katanya, operasi berkenaan bertujuan untuk memastikan keselamatan pemandu dan juga pengguna jalan raya selain pergerakan trafik lancar untuk mengurangkan kadar kemalangan, kematian akibat nahas jalan raya.
Bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan dan saranan JPJ, menurut Zulkefly, pihaknya meletakkan ‘penumpang rahsia’ di dalam bas.
“Kita bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan untuk memastikan pemandu sentiasa dalam keadaan baik tanpa pengaruh dadah dan alkohol selain sebanyak 4 pasukan terdiri daripada dua orang setiap pasukan penguatkuasa JPJ setiap hari akan bertugas menyamar sebagai penumpang dan menaiki bas ekspres untuk memantau pemandu.
Dalam pada itu, kata Zulkefly, JPJ turut menjalankan Op Khas Motosikal bermula 4 petang hingga 7 malam tadi dengan 337 saman dikeluarkan dan 20 buah kenderaan disita.
“Dalam satu lagi operasi sempena Aidiladha yang diadakan bermula semalam sehingga hari ini sebanyak 532 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap kenderaan di atas jalan raya di ibu negara.
“Oleh kerana sebanyak 1.3 juta kenderaan akan bergerak ke Utara dan 1.6 juta kenderaan ke arah Pangtai Timur sempena sambutan Aidiladha kali ini, JPJ akan terus memantau aliran trafik di lebuhraya Jalan Duta, Tol Sungai Besi KL-Seremban serta Tol Gombak ke arah Pantai Timur agar lebih lancar tanpa masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu pemantauan MalaysiaGazette mendapati TBS dibanjiri orang ramai yang merancang pelang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha Ahad ini.
Barisan panjang kelihatan di hampir semua kaunter tiket. – MalaysiaGazette