TASEK GELUGOR – Keterujaan umat Islam meraikan Aidiladha selepas dua tahun ibadat korban terhalang dilakukan seperti biasa kesan akibat pandemik Covid-19 terbukti apabila permintaan lembu korban meningkat secara mendadak tahun ini.
Ia susulan kebanyakan penternak mendakwa mereka tidak menang tangan menerima tempahan tahun ini sehingga ada yang terpaksa mendapatkan lembu dari rakan lain bagi memenuhi permintaan.
Mohd Azlan Ahmad yang juga bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim ketiga (PU3) berkata, dia mengusahakan ternakan lembu di Lahar Yooi di sini dan kira-kira 100 ekor lembu ditempah pelanggan bagi ibadat korban tahun ini.
Dia yang lebih dikenali sebagai PU Alen berkata, permintaan itu merangkumi pelanggan dari seluruh semenanjung memandangkan harga yang ditawarkannya bermula RM3,500 hingga RM5,300 seekor lembu mengikut berat 180 hingga 250 kilogram.
Antara lembu yang dimiliki Mohd Azlan termasuk baka Brahman, Limousin serta Chevrolet.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada permintaan tetapi tidak sehebat kali ini, tahun ini kalau kita tengok ramai penternak berdepan situasi tidak cukup bekalan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya sendiri masih menerima panggilan daripada pelanggan yang mahu menempah tujuh hingga 10 ekor lembu namun terpaksa ditolak kerana tidak cukup bekalan.
“Saya cuba dapatkan lembu daripada rakan ternakan lain namun semuanya berdepan situasi sama iaitu tidak cukup haiwan korban kerana permintaan tahun ini memang agak luar biasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mengulas mengenai permintaan tinggi, Mohd Azlan berkata, lembu miliknya hanya 20 ekor manakala selebihnya itu didapatkan daripada pemborong dan orang kampung bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya akan dapatkan lembu selalunya pada bulan Februari sebelum melakukan proses ‘menggemukkan’ haiwan tersebut agar ia sesuai untuk dijadikan ternakan korban sebaik tiba masanya.
“Pelanggan saya terdiri daripada seluruh Semenanjung yang mana tempah sudah dibuat awal dengan cara membayar secara ansuran bagi setiap bahagian atau seekor lembu yang ditempah.
“Setakat hari ini, kira-kira 96 ekor lembu telah dihantar kepada pelanggan manakala bakinya akan disembelihkan sendiri oleh saya untuk diagihkan kepada golongan yang layak mengikut permintaan pelanggan,” jelasnya yang mengusahakan ternakan lembu sejak empat tahun lalu. – MalaysiaGazette