GEORGE TOWN – Pada usia 10 tahun, Muhammad Faris Syahir Mohd Firdaus muncul sebagai peserta program korban paling muda dalam kalangan 78 peserta lain apabila mengorbankan lembu secara berkelompok hari ini.
Korban dilaksanakan atas nama kanak-kanak terbabit oleh Mohd Safizal Salleh, 37, sebagai tanda kesyukuran anak pertamanya selain mengimarahkan program korban kali ini.
Selain lembu yang dikorbankan secara berkelompok oleh Muhammad Faris Syahir ada sembilan lagi lembu dan lapan kambing turut dikorbankan melalui program berkenaan.
Secara keseluruhan 10 ekor lembu yang dikorbankan dalam porgam terbabit.
Mohd Safizal berkata, beliau melakukan ibadah berkenaan atas nama anak pertamanya kerana gembira dengan kehadirannya yang menyerikan kehidupan keluarga mereka.
“Memang saya niat untuk lakukan ibadah korban buat semua anak-anak manakala ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya lakukan untuk diri sendiri.
“Apabila ibadah korban boleh dilakukan secara gotong royong serta kanak-kanak dibenarkan datang ke lokasi penyembelihan jadi saya ambil peluang itu untuk lakukan ibadah korban bagi anak pertama dan ia akan diikuti setiap tahun nanti sehingga anak keempat saya.
“Semoga ibadah ini diterima Allah dan semoga anak saya menjadi insan mempunyai ilmu agama dan dunia seimbang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program penyembelihan haiwan korban di Masjid Al- Ittifaq, Sungai Nibong Kecil di sini, hari ini
Pada program itu, haiwan korban berkenaan disembelih oleh Ustaz Wan Hizam Abdullah.
Sementara itu, Muhammad Faris Syahir Mohd Firdaus berkata, dia sangat teruja memandangkan ini merupakan kali pertama dia hadir untuk menyaksikan ibadah korban dilaksanakan.
“Minggu lepas baru ayah beritahu saya bahawa kami akan lakukan ibadah korban atas nama saya dan saya akan dibawa ke lokasi untuk menyaksikannya.
“Sejak dari itu memang saya menghitung hari menunggu saat ini. Memang seronok bila dapat tengok sendiri cara lembu disembelih sebelum diagihkan pada golongan yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette