KUALA LUMPUR – “Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Di sangka akan senang selama-lamanya, tetapi ditimpa ujian hingga jatuh melarat.
Demikian nasib Khairuddin Basri, 55, yang mempunyai kediaman sendiri di Ukay Perdana empat tahun lalu untuk dia, isteri dan lapan anaknya berteduh.
Namun, kehidupannya bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila perniagaan kedai jahit yang dikongsi dengan rakannya gagal.
Lebih buruk lagi apabila modal perniagaan berkenaan hasil pinjaman selepas mencagar kediamannya.
Enggan menangisi kesilapan lampau, Khairuddin redha dengan ujian hidup yang perlu dilalui meskipun getir.
Namun, dia dan isteri tidak pernah sesekali menyesali dengan ujian ini sebaliknya terus berusaha demi anak-anak.
“Atas kesilapan sendiri, rumah sendiri terpaksa digadaikan, nak modal segera pada waktu itu, tidak ada pilihan” dedahnya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MG Prihatin Sempena Hari Raya Aidiladha di Flat Taman Desa, baru-baru ini.
Khairuddin berkata, rakan kongsinya juga telah meninggal dunia tahun lalu.
Meskipun terkilan dengan apa yang berlaku namun dia lega kerana kehidupan yang dijalani sekarang lebih baik dari dahulu.
Ini kerana banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya sekeluarga.
Menurut Khairuddin, isterinya terpaksa melakukan dua pekerjaan sejak empat tahun lalu untuk membantunya menyara kehidupan, walaupun tidak pernah bekerja sebelum ini.
Namun Khairuddin bersyukur rezekinya 10 beranak tidak pernah putus meskipun tidak semewah dulu.
Malah katanya, sewaktu Perintah Kawapan Pergerakan (PKP) keluarganya tidak pernah putus bekalan beras walau sehari.
“Pendapatan kami sekeluarga ada turun naik, bagi saya selagi mana kita mampu bayar sewa rumah, tanggungan bil lain, boleh makan ada simpanan sikit bolehlah. Tidak boleh kata apa dengan kehidupan sekarang, memang begini.
“Isteri saya pagi bantu masak untuk peniaga food truck, petang bantu peniaga pasar malam pula. Sebelum itu isteri saya tidak pernah bekerja, saya tanggung semua tapi bila perniagaan saya jatuh, mahu buat perniagaan jahit dengan kawan tapi tidak menjadi.
“Sepanjang kami tinggal di sini sumber makanan sentiasa ada, sewa rumah dan bil mampu bayar, yang penting kami tidak hidup merempat.
“Sepanjang PKP, saya bersyukur kerana pindah di sini dengan suasana kami ini, ada sahaja yang datang membantu, individu persendirian, badan bukan kerajaan (NGO), pernah masa PKP pertama kami ada sampai enam kampit beras,” katanya.
Bahkan, setiap bulan sewa rumah, bil elektrik dan air tidak pernah tertunggak seperti sebelum ini. Kalau tinggal di rumah dulu, keadaan tidak seperti hari ini. Masa tinggal di Ukay Perdana air dan api kena potong perkara biasa sebab tidak cukup.
“Tapi tinggal di sini alhamdulillah tidak ada masalah,” tambahnya.
Oleh sebab itulah, tukang jahit di Wisma Yakin ini tidak pernah kesal dengan kehidupan keluarganya sekarang.
Sebaliknya, melihat setiap yang berlaku ada hikmahnya dan ia adalah nikmat terbesar yang perlu disyukuri, ujarnya. – MalaysiaGazette