Pelarian etnik Rohingya sibuk melapah daging korban untuk diagih-agihkan.

KUALA LUMPUR – Meskipun hidup dalam pelarian namun status itu tidak membataskan etnik Rohingya di negara ini melakukan ibadah korban.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan Lembah Maju, Ampang mendapati kumpulan etnik ini sibuk melapah daging lembu hasil daripada kutipan komuniti serta sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada keluarga yang terlibat.

Pengerusi Forum Pembangunan Belia Rohingya, Mohammed Farouque berkata, program korban yang dilakukan julung-julung kali diadakan atas inisiatif sendiri.

Mohammed Farouque

“Untuk kawasan ini sahaja, sebanyak dua ekor lembu dibuat korban untuk 250 keluarga etnik Rohinya yang tinggal di Lembah Maju hasil kutipan mereka di sini serta pemberian orang ramai.

“Kalau kami nak beli untuk setiap keluarga memang tidak mampu sebab kami pelarian dan tidak boleh bekerja. Kalau ikut undang-undang di Malaysia, sebagai pelarian memang tidak dibenarkan bekerja.

“Walaupun hidup seperti ini, alhamdulilah atas keprihatian rakyat Malaysia yang benarkan pelarian tinggal di negara ini. Kami dapat kumpul duit sedikit untuk sara hidup dan beli lembu untuk buat korban,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, proses penyembelihan lembu ini dilaksanakan di Surau A-Nur, di Pandan Mewah selepas selesai solat sunat AidilAdha dan kemudian dibawa ke tempat mereka di Lembah Maju untuk proses melapah serta pengagihan.

Mohammed Farouque menambah, ia merupakan rezeki buat pelarian etnik Rohinya di situ kerana sebelum ini mereka hanya memperoleh daging korban hasil sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap nasib mereka.

Kaum Rohingya dan Bangladesh sedang menunggu untuk mengambil daging korban di sekitar Pasar Borong Selayang.

Sementara itu, tinjauan di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang pula penuh sesak dan meriah berbanding hari biasa.

Pelarian-pelarian Rohingya dan Bangladesh memenuhi kawasan ini untuk mendapatkan daging korban.

MalaysiaGazette difahamkan kaum Rohingya yang berada di kawasan ini membuat ibadah korban dan mengagih-agihkan daging tersebut. – MalaysiaGazette.