Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipenuhi dengan pelancong dari luar negara susulan pelaksanaan Fasa Peralihan Endemik di Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 APRIL 2022.

MONTREAL – Harga tiket penerbangan akan naik “tanpa keraguan” apabila kos bahan api meningkat, menurut amaran sumber industri.

Harga minyak telah melonjak dengan pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid dan akibat perang di Ukraine.

Kos ini akan ditanggung oleh pengguna, kata Willie Walsh, Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

”Pelancong perlu bersedia untuk kos penerbangan yang meningkat.

“Tanpa ragu-ragu penerbangan akan menjadi lebih mahal untuk pengguna”, katanya, sambil menambah “harga minyak yang tinggi” akan “mencerminkan harga tiket yang lebih tinggi”,’ kata Walsh dalam program BBC Sunday Morning.

Harga minyak telah pun meningkat apabila permintaan meningkat semula dalam ekonomi yang telah mula pulih daripada wabak Covid-19.

Malah, kesan daripada perang di Ukraine telah mendorong harga naik lebih ketara.

Amerika Syarikat pula telah mengumumkan larangan sepenuhnya terhadap import minyak dari Rusia, dengan United Kingdom akan menghentikan bekalan Rusia secara berperingkat pada akhir tahun ini.

Pemimpin Kesatuan Eropah berkata, mereka akan menyekat kebanyakan import minyak Rusia menjelang akhir 2022. Ini bermakna permintaan minyak daripada pengeluar lain telah meningkat, membawa kepada harga yang lebih tinggi.

Walsh berkata, harga bahan api berada pada paras tertinggi dan “minyak pula adalah elemen terbesar tunggal asas kos syarikat penerbangan.

“Tidak dapat dielakkan akhirnya harga minyak yang tinggi akan diserap kepada pengguna dalam harga tiket yang lebih tinggi”. – BBC