SIBU – Empat sekeluarga maut apabila kereta Honda City dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum berlanggar dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 71, Jalan Sarikei-Betong, Saratok, kira-kira 97 kilometer dari sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sarato,k DSP Mordani Tanin berkata, dalam kejadian pukul itu 6.15 pagi itu, kesemua mangsa yang meninggal di tempat kejadian dikenal pasti sebagai pasangan suami-isteri Azwin Yusman, 30, dan Nadziran Mohd Nor, 28, yang beralamat di Desa Senadin, Miri serta dua anak mereka, Hazreen Zharfan Azwin, empat tahun dan Hazeef Zharfan Azwin, berusia setahun.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta dipandu mangsa dari arah Betong menuju ke Sarikei itu dipercayai telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah treler.
“Akibat pelanggaran, kedua-dua kenderaan terseret ke lorong bertentangan sehingga ke besi pembahagi jalan. Pemandu dan kesemua penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan tersebut dibawa ke Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok untuk siasatan lanjut manakala mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, panggilan mengenai kemalangan itu diterima pada 6.53 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Saratok segera digerakkan ke lokasi.
“Kesemua individu di dalam kereta Honda didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas. – Bernama