KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas disifatkan ketandusan dalam kemahiran diplomasi hubungan awam apabila dilihat tidak menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk menangani isu bakal haji yang ditipu baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad atau timbalannya dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sepatutnya menggunakan ‘PR’ masing-masing untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membantu mangsa penipuan baru-baru ini.
Tambahnya, keberadaan Idris di Mekah sepatutnya memudahkannya mengadakan rundingan secara langsung bukan sekadar mengambil maklum.
“Idris Ahmad memang tidak perlu balik. Tetapi tunjuklah keprihatinan. Bukan setakat ambil maklum. Kebetulan sudah ada di Mekah, gunalah PR untuk berunding dengan Kerajaan Saudi.
“Mana PR Idris Ahmad dan Ustaz Hadi untuk bantu mangsa bakal haji. Kalau PR bagus, sudah pasti Malaysia boleh dapat kuota haji tambahan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas dikritik oleh pemimpin Pas yang tidak berpuas hati dengannya selepas mempertikaikan peranan Idris terhadap kes jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Jelas beliau, walaupun isu 380 bakal jemaah haji terkandas itu berkaitan dengan penipuan agensi pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun dalam masa yang sama ia berkaitan dengan kementerian di bawah Idris Ahmad.
“Betullah, agensi pelancongan di bawah MOTAC (Kementerian Pelancongan). Tetapi urusan haji seperti visa dan kuota haji di bawah Menteri Agama. Tanggungjawab dia,” katanya lagi.
Sambil memberi contoh, Puad berkata, Datuk Seri Ismail Sabri hanya menghantar Setiausaha Politik beliau melawat mangas banjir Baling ketika Perdana Menteri berada di di Turkiye.