KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes video tular membabitkan dua buah jengkaut terbakar yang didakwa akibat tidak bayar wang perlindungan kepada kumpulan kongsi gelap.
Kejadian itu berlaku di sebuah tapak projek pemasangan paip gas di tepi Jalan Sri Cheeding, Kuala Langat, Selangor Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek berusia 18 dan 26 tahun itu telah ditahan polis di Jalan Sri Cheeding jam lebih kurang 11.30 malam pada hari yang sama kejadian kebakaran tersebut.
“Polis terkesan video berdurasi 0.33 saat itu pada jam 10 malam Selasa yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok yang menggunakan nama profil “Tok Naz” yang memaparkan dua jengkaut sedang terbakar.
“Setakat ini siasatan awal pihak polis tidak mengesan sebarang unsur pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap seperti mana didakwa oleh seorang individu di dalam video yang ditularkan di media sosial itu.
“Kita telah memanggil pemilik akaun TikTok tersebut untuk mendapat keterangan berkaitan kenyataan yang ditularkan menerusi video tersebu di media sosial,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi
mengenalpasti punca dan motif kejadian tersebut.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas pemilik akaun tersebut diberitahu bahawa dia hanya mendengar khabar angin sahaja dan tidak dapat mengesahkan kebenaran mengenai punca kejadian yang berlaku.
“Polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca dan motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar sebarang berita yang tidak dapat disahkan kebenarannya,” katanya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian kebakaran tersebut dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak Polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mohamad Fadzil Bin Mohamad Saidi di talian 013-9311208 / 03-31872222. – MalaysiaGazette