KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan penularan maklumat cuaca berkaitan dua ribut bertembung di tengah di pelbagai platform media sosial serta WhatsApp.
Menurut kenyataan MET Malaysia, sistem tekanan rendah yang terbentuk di pantai timur India dijangka bergerak perlahan ke barat memasuki daratan India.
“Sistem ini akan menyebabkan tiupan angin yang kencang dan lembapan bertumpu di sekitar kawasan berkenaan dan tidak akan memberi kesan kepada negara kita,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan cuaca melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta hotline di talian 1-300-22-1638. – Malaysiagazette