KUALA LUMPUR – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini membuat satu laporan polis sebagai menggesa polis mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang menyakiti dan menghina masyarakat India.
Ketua Penerangan, S. Gobi Krishnan berkata, Timbalan Presiden UMNO itu didakwa telah menggores hati komuniti India dengan menyifatkan pembawaan kavadi sebagai membebankan.
“Saya hari ini membuat satu laporan polis terhadap Timbalan Presiden UMNO yang mengeluarkan kata-kata menghina ritual agama Hindu dengan menganggap membawa kavadi sebagai satu beban atau ‘baggage’ yang merupakan satu sendaan yang menyedihkan.
“Kami kesal dan terkejut apabila seorang pemimpin berkaliber seperti Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau dan pemimpin kedua tertinggi Barisan Nasional dan UMNO itu bercakap sedemikian.
“Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan sebegitu yang jelas menghina agama dan kepercayaan Hindu yang ternyata menggores hati masyarakat India negara ini,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.
Tambah beliau, laporan polis itu bagi meminta polis menyiasat Mohamad di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Gobi Krishnan mendakwa Mohamad mengeluarkan kenyataan itu semasa diwawancara AsiaTimes.
Menurut beliau, sejak isu berkenaan tular, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meluahkan kekesalan dan kemarahan terhadap Mohamad.
Sementara itu, Gobi Krishnan berkata, jika tiada tindakan diambil, pihaknya akan berarak ke ibu pejabat UMNO.
“Kami dua hari lepas sudah menuntut Tok Mat untuk memohon maaf atas perkataan yang digunakan beliau namun sekarang sudah lebih 24 jam pemimpin itu masih membisu tanpa sebarang reaksi kepada tuntutan kami.
“Kalau beliau tidak dapat datang jumpa kami, tidak mengapa kami bersedia untuk datang ke pejabat UMNO di WTC dan berjumpa beliau untuk berbincang,” ujarnya.
Gobi Krishnan menjelaskan, bagi penganut agama Hindu kavadi dibawa untuk membayar nazar pada setiap sambutan Thaipusam dan ia tidak membebankan individu yang membawanya. – MalaysiaGazette