Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Pejabat Pentadbiran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) Cawangan Bera malam tadi

BERA – Kerajaan masih dalam perbincangan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung pemberian elaun bulanan RM500 kepada veteran tentera dan pasangannya yang sakit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk membalas jasa mereka yang berkorban untuk mempertahankan tanah air.

“Kalau veteran sakit terlantar, isteri yang jaga, isteri akan dapat elaun RM500 sebulan, Bukan itu sahaja, kalau isteri yang sakit, suami (veteran) yang jaga juga layak dapat RM500,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Pejabat Pentadbiran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV ATM) Cawangan Bera, malam tadi.

Sejak Ogos 2020, kerajaan memberi elaun bulanan berjumlah RM350 kepada isteri yang menjaga sepenuh masa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sakit.

Sementara itu, seramai 2,500 anak veteran tentera berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) secara percuma untuk tempoh setahun dengan kos pengajian dibiayai universiti.

Program pengajian yang ditawarkan dalam tempoh lima tahun itu memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM12,500 setahun, yang mana penuntut terlibat boleh memilih sama ada mahu kekal di universiti itu atau melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi lain.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu mengumumkan sebanyak 1,000 unit Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di daerah ini untuk veteran tentera yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

“Saya telah berbincang dengan Menteri KPKT mengenai perkara ini, dan saya mahu memastikan tiada lagi veteran yang menyewa atau menumpang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast