SINGAPURA – Harga minyak jatuh pada Khamis apabila pelabur meningkatkan dua kali ganda kemungkinan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bagi membendung inflasi dan mengekang permintaan minyak.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk September turun AS$0.20 atau 0.2%, kepada AS$99.37 setong pada 00:10 GMT selepas menokok AS$0.08 pada hari Rabu.
Minyak mentah AS, West Texas Intermediate untuk penghantaran Ogos berada pada AS$95.93 setong, turun AS$0.37atau 0.4%, selepas meningkat AS0.46 pada sesi sebelumnya.
Rizab Persekutuan sedang berdepan dengan lonjakan inflasi sejak 40 tahun dengan kenaikan kadar 100 mata asas selepas laporan inflasi yang suram menunjukkan tekanan harga semakin pantas.
Bank of Canada pada hari Rabu menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 100 mata asas dalam usaha untuk mengekang inflasi, mengejutkan pasaran dan menjadi negara G7 pertama yang melakukan kenaikan agresif.
Suruhanjaya Eropah meramalkan tahap rekod inflasi dan mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar untuk 2022 dan 2023 akibat perang di Ukraine, menurunkan permintaan akibat lonjakan harga dan kekurangan tenaga musim sejuk, lapor Bloomberg News.
Pelabur juga kembali memberi tumpuan kepada dolar, sebagai aset selamat.
Indeks dolar mencecah paras tertinggi 20 tahun pada hari Rabu, yang menjadikan pembelian minyak lebih mahal untuk pembeli yang tidak menggunakan dolar AS.
Kebimbangan terhadap sekatan Covid-19 di beberapa bandar China untuk mengekang kes baharu subvarian yang sangat berjangkit juga menjejaskan harga.
Import minyak mentah harian China pada Jun merosot ke paras terendah sejak Julai 2018, ketika loji penapis menjangkakan langkah sekatan Covid-19 mengekang permintaan.
Sementara itu, Presiden Joe Biden pada hari Jumaat akan ke Arab Saudi dan beliau akan menghadiri sidang kemuncak sekutu Teluk dan mahu menyeru sekutu tersebut untuk mengeluarkan lebih banyak minyak. – Reuters