SEPANG – Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menambah 11 loji sembelihan baharu di beberapa loji pemprosesan di negara-negara pengeksport.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pengiktirafan 11 loji baharu itu diberi selepas pasukan audit dari kementeriannya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) membuat pengauditan menerusi aspek biosekuriti.
Katanya, kini terdapat 227 loji baharu di 26 negara pengeksport untuk operasi ayam dan daging, antaranya dari Thailand, India, dan Pakistan
”Pertambahan jumlah loji itu dapat membantu memastikan jumlah bekalan sentiasa terjamin dan dapat menstabilkan harga pasaran daging terutamanya daging import dari negara India.
“Kita akan memastikan prosesnya rapi menerusi aspek biosekuriti, pengurusan haiwan dan juga halal dari sudut Islam yang mana perlu dipatuhi sebelum sesebuah loji itu ditauliahkan oleh kerajaan” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk pertanian dan haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Ketika ditanya sama ada harga siling ayam akan diturunkan lagi kerana bekalan sudah stabil Ronald berkata, ia bergantung kepada pasaran.
“Bagi kos pengeluaran ternakan, ianya bergantung kepada tanaman kerana ia ada berkaitan dengan kos input yang dikeluarkan.”
“Baja dan racun pun kita bergantung dari negara luar untuk industri ternakan seperti ayam”
“Ini kerana 70 peratus dari kos pengeluaran itu pun kita bergantung kepada kos input bijian termasuk jagung serta kacang soya yang kita import dari negara luar.
“Kita memang tertakluk kepada harga pasaran antarabangsa sebab kita ternak ayam tapi kita tak tanam jagung untuk dijadikan makanan haiwan ternakan” jelasnya.
Dalam pada itu, Ronald memberitahu, larangan mengeksport semua jenis produk ayam telah ditambah baik.
“Sebelum ini kita menghalang semua eksport ayam, anak ayam, produk ayam, termasuk nugget, sosej, ayam kampung, coloured chickens dan sebagainya”
“Tapi kerajaan telah menambah baik larangan ini, hari ini kita dapat lihat anak ayam akan diimport ke Saigon, Vietnam. Sekarang kita cuma larang ayam bulat atau ayam daging untuk dieksport,” katanya.
Kebenaran untuk mengeksport ayam daging ini akan ditimbang semula oleh kerajaan selepas kajian bagi memastikan bekalan ayam tempatan mencukupi. – MalaysiaGazette