Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 22 November ini bagi pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah memohon Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes tersebut. 

Menurut Pendakwa Raya, Poh Yin Tin, pendakwaan dan pasukan pembelaan telah diperintahkan oleh mahkamah untuk memfailkan hujahan bertulis rayuan itu pada 8 November ini.

“Pendengaran telah di tetap pada 22 November jam 9 pagi,” katanya selepas prosiding atas talian hari ini.

Pada 25 April lalu, mahkamah menolak permohonan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Run Razak yang mahu Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes berkaitan AMLA dan LHDN itu.

Ini kerana, menurut Rosmah, Mohamed Zaini yang ketika ini sedang mendengar kes rasuah solar hibrid di sekolah di pedalaman Sarawak membabitkan beliau.

Katanya, keterangan dan eksibit-eksibit dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes itu secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi Mohamed Zaini sekiranya hakim berkenaan mendengar kes AMLA.

“Hak pemohon untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak itu akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya hakim berkenaan mendengar perbicaraan kes ini,” dakwanya dalam permohonan rayuan itu.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – MalaysiaGazette