KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah menitahkan agar semua penghulu di negeri itu memikul tanggungjawab dengan sentiasa prihatin kepada rakyatnya.
Ini berikutan istana mempunyai hubungan dengan institusi berkenaan sejak 552 tahun lalu di mana penghulu merupakan pasukan yang dianggap sebagai wakil raja pemerintah di setiap pelosok negeri berkenaan.
Titah baginda, empat peranan utama penghulu ketika itu iaitu memungut cukai, menjaga keamanan, mendamaikan pergaduhan dan menyediakan buruh pada zaman dahulu.
“Hubungan ini telah terbina kira-kira 552 tahun dahulu iaitu sejak zaman Kesultanan Pahang yang pertama, Al-Marhum Sultan Muhammad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah yang memerintah negeri Pahang bermula 1470 sehingga 1475.
“Penghulu adalah wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan oleh Kebawah Duli Tuanku Sultan untuk disampaikan kepada rakyat jelata,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (Kppsm) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.
Baginda bertitah tugas penghulu amat luas serta merangkumi pelbagai perkara dan aspek, baik aktiviti sosial, ekonomi, mahu pun hal ehwal yang berkaitan dengan agama dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya mahu penghulu saya sentiasa peka dan prihatin seterusnya bertindak segera apabila berlaku kejadian atau bencana atau malapetaka yang melibatkan rakyat saya, sama ada yang tinggal di kampung-kampung, atau pun di bandar-bandar, seperti kejadian rumah terbakar, bencana ribut, banjir, tanah runtuh dan lain-lain.
“Selain itu, penghulu juga berperananan mempertahankan institusi diraja ini terutamanya kepada generasi muda dan belia,” titah Pemangku Raja Pahang.
Justeru baginda berharap para penghulu semua dapat menjadi benteng dalam mempertahankan institusi diraja di samping melestarikan pembangunan mampan berkaitan pemeliharaan alam sekitar. – MalaysiaGazette