KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited untuk terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Ops Hire.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanahkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19, Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan Kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.
“Dalam menangani isu ini, Perkeso telah mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta.
“Tindakan penggantungan bayaran tersebut dibuat berdasarkan penganalisian data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AFEI), Perkeso,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ops Hire yang bermatlamat membanteras penyelewengan dana Kerajaan tersebut dilaksanakan secara bersepadu bermula Rabu lalu setelah SPRM dan Perkeso menjalankan pemantauan
dan risikan terhadap penerima dana PenjanaKerjaya sejak bulan Mei tahun lalu dan mendapati ada antara majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.
Menurut Mohammed Azman, pada masa yang sama, AFEI juga berkerjasama rapat dengan Bahagian Kewangan dan Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso untuk memastikan setiap permohonan yang diterima dapat disemak sepenuhnya dengan teliti, sebelum bayaran dibuat kepada penerima insentif.
Sehingga kini, tambah beliau, jumlah bayaran yang telah dibuat oleh pertubuhan itu kepada para majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM1.72 bilion, membabitkan 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.
“Program PenjanaKerjaya merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan bertujuan untuk merangsang pewujudan pekerjaan oleh para majikan, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya, mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.
“Program ini mula diperkenal buat pertama kalinya pada 15 Jun 2020 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan kini, program ini masih diteruskan menerusi inisiatif JaminKerja – Insentif Penggajian,” ujarnya.
Mohammed Azman berkata, pihaknya amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan Kerajaan kerana ia melibatkan dana awam.
Sehubungan itu, katanya, Perkeso mengingatkan para majikan supaya jujur dan dan berintegriti dalam mengemukakan permohonan untuk apa-apa program bantuan Kerajaan termasuk PenjanaKerjaya yang dilaksanakan oleh agensi ini.
Tambah beliau, majikan yang telah menyalahgunakan dana Program PenjanaKerjaya ini atau mengemukakan permohonan tanpa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah diminta ampil dan membuat bayaran balik secara sukarela, atau berhubung dengan Perkeso bagi menyelesaikan isu itu sebelum sebarang tindakan diambil. – MalaysiaGazette