HATYAI (THAILAND) – Setelah dua tahun ditutup akibat pandemik COViD-19,  perkhidmatan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai, Thailand dibuka semula hari ini.

Tinjauan Bernama di kaunter tiket State Railway Of Thailand (SRT) di Stesen Keretapi Padang Besar mendapati orang ramai mula beratur seawal 8.00 pagi bagi mendapatkan tiket ke Hatyai.

Menurut laman web Keretapi Tanah Melayu (KTM) Bhd, perkhidmatan tren tersebut dijalankan dengan kekerapan dua kali sehari iaitu 9.55 pagi dan 4.40 petang (waktu Malaysia) bagi laluan Padang Besar-Hatyai, manakala 8.30 pagi dan 3.00 petang bagi laluan Hatyai-Padang Besar.

Salah seorang penumpang, Boon Kee Ho, 44, dari Gurun, Kedah berkata pembukaan semula perkhidmatan keretapi ke Thailand memudahkan semua penumpang selain menjimatkan masa dan tenaga kerana tidak perlu memandu kenderaan sendiri.

“Saya naik komuter KTM pukul 7.12 pagi dari Gurun ke Stesen KTM Padang Besar dan sampai ke sini 8.15 pagi.

“Tiba di sini (Padang Besar) saya terus ke kaunter tiket SRT yang mula dibuka pada 8.30 pagi, ia amat mudah dan cepat,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Katanya beliau ke Hatyai untuk berjumpa kawan lama dan menikmati masakan Thailand.

Turut berkongsi pengalaman, Mohd Yunus Zunun, 39 dari Butterworth, Pulau Pinang berkata beliau menaiki komuter dari Butterworth ke Padang Besar pada pukul 6.25 pagi dan tiba 8.15 pagi.

“Ini adalah merupakan pengalaman pertama saya menaiki kereta api ke Thailand, sebelum ini saya bawa kereta sendiri.

“Bagi saya pengalaman menaiki kereta api lebih menyeronokkan dan santai kerana tidak perlu penat memandu dan lebih mudah walaupun jarak masa hampir sama iaitu lebih kurang satu jam,” katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Hari pertama pembukaan semula perkhidmatan tren ke Thailand mendapat liputan daripada media Malaysia dan Thailand.

— BERNAMA