Christopher Patit

MELAKA – Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki yang membuat laporan palsu dengan mendakwa membunuh isterinya di sebuah rumah di Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, lelaki berusia 33 tahun itu membuat laporan tersebut melalui panggilan telefon di Balai Polis Ayer Keroh jam 7.30 malam, Rabu lalu.

Menurutnya, bertindak hasil maklumat diterima, sepasukan 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi, namun hasil siasatan mendapati alamat dimaksudkan bukan rumah lelaki berkenaan.

“Pasukan polis termasuk Unit Forensik bagaimanapun terus melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan perumahan terbabit namun tiada sebarang kes jenayah dilaporkan.

“Kita juga sedang mengesan lelaki berkenaan melalui nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi balai polis dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Pihak polis memandang serius perbuatan laporan palsu sebegini dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka sebagai pengajaran kepada masyarakat.

“Perbuatan sebegini akan menyebabkan pembaziran tenaga kerana perlu melakukan siasatan terhadap kes yang tidak berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette