SHAH ALAM – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa lewat menubuhkan jawatankuasa dalam menangani ancaman keselamatan makanan setelah setahun kenaikan harga barang berlaku di negara ini.
Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelewatan itu menunjukkan kerajaan Keluarga Malaysia tiada kepedulian tentang masalah rakyat yang berdepan kenaikan harga barang yang membebankan.
“Kalau ikut pengalaman saya dulu, satu dua bulan sebelum perayaan, kita jangka berlaku kenaikan harga barang, Kabinet bersidang mengambil langkah-langkah segera.
“Kerajaan sekarang, setahun setelah harga barang naik, baru nak tubuh jawatankuasa menangani masalah rakyat, langsung tiada kepedulian tentang masalah rakyat dengan harga yang mereka tanggung sekarang ini.
“Inilah sistem politik yang usang, keputusan-keputusan memihak kepada elit penguasa dan kroni mereka,” katanya menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional ke-16 Keadilan, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Anwar mendakwa, Perdana Menteri kelapan itu hanya meneruskan tradisi berdekad lamanya yang lebih mementingkan projek-projek mega dan besar yang dilihat demi kepentingan ekonomi semata-mata.
“Kita bicara soal bailout, bekas Perdana Menteri bicara soal Sapura, kita bincang soal ratusan ribu yang muflis dan hilang pekerjaan dalam kalangan rakyat.
“Kalau ada keputusan, yang ditumpukan projek-projek mega dan besar, kegilaan mega ini menyebabkan kita menghadapi malapetaka yang mega, yang ada percepatkan projek-projek besar kerana komisennya juga besar.
“Dari dulu sampai sekarang, kalau dengar di Parlimen, yang ditumpukan ialah projek-projek besar dari ECRL, HSR dan sekarang DNB, tiada tender, tiada penjelasan, berpuluh kali kita bicara di Parlimen,” soalnya.
Anwar turut mengingatkan Perdana Menteri agar tidak berlengah menangani masalah rakyat atau sedia dihukum rakyat seperti mana berlaku di Sri Lanka apabila presidennya dihalau dari negara itu.
“Jangan kita leka, jangan tunggu sehingga berlaku gejolak seperti di Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa paksa rakyat, menindas, menimbulkan permusuhan antara orang Bugis, Hindu dan Muslim.
“Akhirnya diterajang keluar oleh rakyat setelah mengaut harta dan khazanah negara,” katanya.
Katanya lagi, apabila keadaan terdesak itu berlaku, penguasa negara hanya memberi alasan demi kepentingan negara, demi Melayu dan demi Islam untuk menyelamatkan politik masing-masing.
“Padahal langkah-langkah diambil itu semua langgar tatasusila, tamadun, adab dan akhlak orang Melayu dan Islam.
“Mana ada budaya Melayu yang mengizinkan rompakan, mana ada akhlak Islam mengizinkan khazanah negara berbilion ringgit diambil untuk kepentingan individu dan keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette