Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak gentar jika digertak Tun Daim Zainuddin sekiranya beliau memilih untuk mendedahkan skandal-skandal kewangan yang melibatkan bekas Menteri Kewangan itu.

Anwar mendakwa, selama ini Daim banyak kali diselamatkan oleh bekas Perdana Menteri terdahulu sehingga ahli politik veteran itu tidak berasa serba salah kerana tiada sebarang siasatan dilakukan ke atasnya.

“Jangan anggap bahawa saya boleh ditakutkan sekiranya saya memilih untuk mendedah skandal-skandal ini. Soal dia diselamatkan selama ini tanyalah Perdana Menteri sebelum ini.

“Tiada penyiasatan kerana terlalu besar, gergasi maha perkasa untuk disanggah dan didekat. Jadi mereka pergi mana-mana, tiada siasatan.

“Malah bila dia dilantik sebagai Ketua Penasihat Ekonomi Pakatan Harapan (PH), saya keluar penjara, saya bagi nasihat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya kata bagaimana orang yang terlibat dalam semua ini (skandal) boleh dilantik? Tun Mahathir kata, itu keputusan dia kerana boleh beri nasihat kepada dia,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Daim menggesa tokoh politik veteran berundur untuk memberi ruang kepada generasi baharu memimpin negara.

Daim memberi contoh bekas seterunya, Anwar sebagai contoh tokoh politik yang perlu berundur susulan presiden PKR itu pernah cuba menghalang bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli daripada menguasai jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Anwar juga sebelum ini menyalahkan Daim apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan Rafizi dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden sewaktu pemilihan PKR 2019.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau memilih untuk berjuang menyelamatkan negara daripada individu, tokoh politik dan kerajaan yang didakwa memunggah kekayaan negara.

“Tak mungkin orang-orang ini yang terkait dengan Pandora Paper dan kekayaannya berbilion akan menyokong atau simpati dengan saya.

“Sebab itu saya guna istilah sistamik, masalah rasuah negara kita adalah sesuatu yang sistamik, iaitu sistem paling rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast