Perbahas Negeri Perak, Mohd Jamean Zulkifli sedang berbahas pada ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Maruah Pakatan Harapan (PH) tercalar selepas gabungan parti politik itu mengalami beberapa kekalahan pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perwakilan Perak, Mohd Jamean Zulkifli berkata, PH perlu belajar daripada pengalaman lalu bagi mengembalikan kesepaduan sesama parti.

“Saya ingin sentuh kesepakatan dalam Pakatan Harapan. Kita harus mengukuhkan lagi kekuatan bersama rakan-rakan kita dalam PH semangat setiakawan harus dikekalkan, gembleng tenaga dan idea bagi mendepani pilihan raya.

“Maruah kita sudah tercalar dengan episod kekalahan beberapa pilihan raya kecil, dan PRN justeru itu saya menegaskan pentingnya untuk PH bersatu hati rangkul kekuatan untuk mendepani cabaran masa akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR ke-16, di sini, hari ini.

Pada sesi tersebut, Mohd Jamean turut menyentuh isu pengkhianatan yang dialami PKR apabila pemimpinnya meninggalkan parti demi kerana kuasa setelah berjuang bertahun lamanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, PKR perlu mengambil langkah yang berkesan bagi menangani isu pengkhianatan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita dapat lihat keburukan sekiranya menyimpan musuh dalam selimut di kalangan kita, oleh kerana itu PKR harus bersedia dan mengambil langkah dalam mendepani isu pengkhianatan ini agar tidak berbuah dua kali.

“Kita juga harus bersatu hati dalam mendepani cabaran untuk membina kepercayaan ahli terhadap pimpinan baharu parti ke arah lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast