Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli menyalahkan Datuk Seri Najib Razak dan mempertahankan Tan Sri Tommy Thomas dalam isu kes saman oleh waris Kesultanan Sulu tidak menghairankan.

Ini kerana, bekas Peguam Negara itu pernah menyelamat Rafizi yang dihukum bersalah dan penjara 30 bulan, dakwa Datuk Mohd Puad Zakarshi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, surat Tommy pada tahun 2019 yang mengakui Malaysia kesal dan akan bayar balik tunggakan sebanyak RM48,000 telah dijadikan bukti utama di mahkamah timbang tara bahawa Malaysia mengaku salah.

Dan, inilah puncanya Malaysia kalah dan kena bayar RM66 bilion dan aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus bernilai AS$2 bilion mahu dirampas, tegas Puad.

Soal beliau lagi, jika Rafizi pertahankan surat mengaku salah Tommy kerana hentikan bayaran RM5,300 setahun, apakah bakal Timbalan Presiden PKR itu mengiktiraf serangan Sultan Kiram terhadap Lahad Datu.

Lantaran itu, Puad berkata, kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan penubuhan Suruuhanjaya Siasatan Diraja ke atas Tommy kerana banyak isu termasuk surat pengakuan bersalah yang dibuat olehnya.

“Apa susah sangat,” tanya Puad.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa kegagalan dan kecuaian pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh Najib Razak menjadi punca menyebabkan harta milik Petronas dan agensi lain terdedah tindakan sita di seluruh dunia dalam isu tuntutan waris Sultan Sulu kepada kerajaan.

Justeru, beliau akan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pekan itu kerana didakwa cuai dalam kes berkaitan isu tuntutan waris Sultan Sulu kepada kerajaan.

Untuk itu, katanya beliau akan menyusun jadual bagi membolehkan laporan polis itu dibuat di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sejak berita mengenai tindakan waris Sultan Sulu menyita aset Petronas, Najib bertubi-tubi menyerang kononnya ia berpunca daripada kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau percaya, Najib bertindak demikian demi mengalihkan pandangan rakyat kepada Tommy untuk membina persepsi perkauman kononnya pentadbiran PH melantik tokoh bukan Melayu yang akhirnya menggadaikan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast