KUALA LUMPUR – Tindak tanduk Low Taek Jho atau Jho Low yang dalam buruan berhubung penyewelengan dana 1MDB dengan membuat tawaran kepada kerajaan Malaysia ternyata menunjukkan ahli perniagaan itu bersalah terhadap dakwaan terhadapnya.
Keputusan kerajaan khasnya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak tawaran itu yang diaturkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah tepat dan betul.
Itu pendapat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM.
Kata beliau, Apandi sepatutnya tidak menjadi perantara dengan kerajaan Malaysia walaupun Jho Low menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan bagi menggugurkan semua pertuduhan terhadapnya.
“Jho Low telah didakwa di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia atas pertuduhan terlibat dengan kesalahan jenayah kerana menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia melibatkan jumlah berpuluh bilion ringgit.
“Mana boleh berlaku tawar-menawar antara si penjenayah Jho Low dengan kerajaan Malaysia. Adakah sistem keadilan di Malaysia boleh dijual beli dengan tawaran RM1.5 bilion daripada Jho Low.
“Perbuatan Jho Low itu satu cubaan merasuah kerajaan Malaysia yang dengan jelas memandang rendah sistem kehakiman negara sehingga semuanya mahu dijual beli.
“Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman Malaysia sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar-menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kata Hassan lagi, agak menyedihkan apabila Apandi tergamak menjadi orang perantara antara Jho Low untuk berunding dengan kerajaan Malaysia.
“Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya besar seperti RM1.5 bilion?” soalnya. -MalaysiaGazette
masih tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa?????
Alaaa..masa PH berkuasa pun tak dapat tangkap…siap bagi alasan Jho Low dah jadi beruang…skrg banyak cakap plak…mcm bangang!