KUALA LUMPUR – Selepas tular seorang wanita menghina Islam ketika persembahan di kelab komedi kali ini seorang lelaki pula ditahan polis selepas didakwa melakukan perbuatan sama menerusi rakaman video di media sosial.
Tindakan biadab individu itu yang menghina Islam dengan kata-kata kesat tular di media sosial sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan berkata, suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kuchai, Puchong hari ini.
“Suspek ditahan jam lebih kurang pukul 12.30 tengah hari susulan laporan polis yang dibuat oleh awam di Cyberjaya.
“Siasatan akan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Anbalagan enggan memperincikan butiran lanjut berkaitan pekerjaan suspek dan sebagainya memandang kes sedang dikendalikan USJT Bukit Aman.
Terdahulu video berdurasi 36 saat menunjukkan seorang lelaki dipercayai menghina Islam tular di media sosial.
Menerusi rakaman video itu, dia seolah mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumpa dengannya selain mengeluarkan kata-kata kesat.
Selepas tular video itu, lelaki terbabit dibelasah beberapa individu yang dipercayai berang dengan tindakannya menyebabkannya mengalami kecederaan di muka.
Susulan kejadian, lelaki itu dilihat mengeluarkan video permohonan maaf di media sosialnya.
“Saya minta maaf apa yang berlaku. Sudah teruk kena ni. Aku tak salahkan mereka semua, aku faham. Tak sepatutnya aku buat macam itu.
“Aku harap kat luar tu (masyarakat) jangan ada yang buat macam ini lagi (hina Islam),” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada polis akan menahan individu yang memukul suspek, Anbalagan berkata, polis juga akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Beliau juga pada masa yang sama telah menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan menyerahkan isu kepada polis untuk menjalankan siasatan. – MalaysiaGazette
Sebab santan, pulut binasa,
Seab mulut, badan binasa.