GEORGE TOWN – “Saya baru kehilangan anak ketiga pada Mac lalu di Kedah akibat kemalangan dan hari ini sekali lagi keluarga kami diduga atas faktor sama hingga mengorbankan anak sulung pula.”
Demikian luah Mashitah Md Isa, 44, – ibu kepada Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, mangsa kemalangan maut membabitkan beberapa kenderaan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong di sini awal pagi tadi.
Selain Mohd Syazwan Hakim, kembarnya, Mohd Syazwan Hafiz turut terlibat dalam kemalangan tersebut dan kini dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut Mashitah, mereka sekeluarga terkejut sebaik menerima panggilan pukul 5 pagi tadi yang memaklumkan kedua-dua anak kembarnya terlibat dalam kemalangan.
“Memang terkelu bila terima khabar dua anak saya terlibat dalam kemalangan sebelum kami bergegas ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun sebaik tiba, saya dimaklumkan anak kedua saya (Mohd Syazwan Hafiz) mengalami kecederaan telah dikejarkan ke HPP manakala abangnya meninggal di lokasi kejadian.
“Masing-masing mereka menunggang motosikal secara berasingan dan saya sendiri tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku hingga meragut nyawa anak sulung saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP hari ini.
Tambah Mashitah, anak sulungnya disifatkan sebagai seorang insan yang baik serta penyayang.
“Kami baru balik bercuti di Cameron Highlands dan arwah (mangsa) tidak menunjukkan sebarang kelakukan pelik malah dia beli bantal Upin dan Ipin untuk dibawa pulang memandangkan dia juga kelahiran kembar.
“Tapi itulah Allah lebih menyayangi dia walaupun sedih saya kena terima,” ujarnya.
Sementara itu, tunang arwah, Shahzeleen Shahnees Shahrom Shah, 20, hanya tahu Mohd Syazwan maut dalam kemalangan apabila melihat mangsa terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah.
“Tunang saya (Mohd Syazwan Hakim) minta teman dia ke lebuh raya tersebut dan tiba-tiba rakan beritahu dia terlibat dalam kemalangan.
“Walaupun ada di lokasi ketika kejadian, saya sendiri tak nampak siapa langgar siapa dan apabila mendekatinya dapati dia sudah baring berlumuran darah,” ujarnya yang sudah mengikat tali pertunangan lima bulan lalu.
Seorang lagi ibu kepada mangsa kemalangan, Shahiril Rohaiza Ramli, 46, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak sulung daripada dua beradik itu pada Hari Raya Aidiladha sebelum dikejutkan dengan kematiannya pagi ini.
“Bukan mudah untuk kami telan apa yang berlaku terhadap Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi hari ini tambahan pula dia meninggalkan dua cahaya mata yang masing-masing baru berusia empat dan lapan tahun.
“Kami sekeluarga kenal macam mana (perangai) anak kami dan orang (orang ramai) boleh kecam apa pun kerana mereka tak fikir apa perasaan yang sedang kami lalui akibat insiden ini,” katanya sambil menambah Muhammad Eizreel, 25, menetap di Bukit Gedung dan bekerja sebagai mekanik motosikal.
Dalam pada itu, abang kepada seorang lagi mangsa maut, Ahmad Najwan Ikhwan Ahmad Nazrul, 20, berkata, kehilangan adiknya, Ahmad Haikal Naif, 19, memberi kesan mendalam bagi mereka sekeluarga.
“Lebih menyedihkan baru semalam dia beritahu kawan-kawan saya sekiranya dia tiada minta kebumikan jenazahnya di kubur datuk kami di Balik Pulau agar memudahkan urusan keluarga untuk menziarah di lokasi sama.
“Selain itu, baru-baru ini dia sendiri cerita kepada kami dia ada mimpi rakan-rakannya yang sudah meninggal dunia namun kami tidak sangka itu petanda dia bakal meninggalkan kami,” katanya.
Terdahulu, tiga penunggang motosikal terkorban dalam satu kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal serta kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini hari ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tiga maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu